CANBERRA, 25 FEB – Kerajaan Australia mengumumkan pembiayaan baharu bagi menjadikan pantai dan taman negara di negara itu lebih mudah diakses oleh golongan orang kelainan upaya (OKU), lapor Xinhua.
Menteri Perkhidmatan Sosial dan Skim Insurans Hilang Upaya Negara, Amanda Rishworth hari ini mengumumkan pembiayaan berjumlah AS$10.8 juta untuk inisiatif Accessible Australia yang baharu.
Beliau berkata dalam satu kenyataan bahawa inisiatif berkenaan akan membiayai projek infrastruktur untuk menjadikan pantai, taman negara dan ruang permainan di Australia lebih inklusif.
Projek yang akan dibiayai termasuk kerusi roda yang mampu bergerak di semua kawasan, termasuk pantai dan laluan yang mesra OKU.
Rishworth berkata inisiatif itu akan memberi akses kepada golongan OKU untuk ke pantai, taman negara dan tempat permainan. – Bernama
