Sabtu, 22 November 2025
23.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Pembiayaan Sosial Islam perlu agih kekayaan saksama’

    Oleh Sim Y.H.
    Gambar serahan BIBD

    Pembiayaan Sosial Islam harus menjadi salah satu penyelesaian utama kepada keadaan sosial, yang membawa objektif sama seperti perbankan Islam iaitu mempromosikan lebih banyak kesejahteraan individu dan kebajikan sosial.

    “Dengan mematuhi nilai-nilai dan prinsip Maqasid Syariah, Pembiayaan Sosial Islam bermatlamat untuk memastikan aktiviti-aktiviti kewangan dikendalikan dengan kaedah yang selaras dengan matlamat yang lebih luas iaitu pengagihan kekayaan yang saksama dan keadilan sosial.”

    Perkara itu dikongsi oleh Ketua Hubungan Kerajaan dan Projek Khas BIBD, Haji Mohammad Yusri bin Haji Wahsafelah semasa perbincangan dan pembentangan dalam sesi perbincangan panel bertajuk, Islamic Social Finance-A Feasible Antidote?, dalam Sidang Kemuncak Kewangan Islam Brunei (BIF) 2023 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, baru-baru ini.

    Sesi perbincangan berkenaan turut mengetengahkan ahli-ahli panel iaitu Ketua Pegawai Rangkuman Kewangan Kumpulan, Bank Islam Malaysia, Mohamad Nazri Chik; World Zakat and Waqf Forum and Indonesia Waqf Board, Indonesia, Dr Irfan Shauqi Beik; serta moderator perbincangan, Penolong Profesor, UBD School of Business and Economics dan Pengarah Sultan Omar ‘Ali Saifuddien Centre for Islamic Studies, Dr Mohamad Hairul Azrin bin Haji Besar.

    Dalam sesi perbincangan itu lagi, Haji Mohammad Yusri menambah bahawa pembiayaan jenis itu, yang termasuk zakat dan wakaf menjadi sebagai peralatan yang kuat untuk memupuk pertumbuhan ekonomi dan sosial dengan menyalurkan dana ke arah inisiatif-inisiatif yang memanfaatkan komuniti yang terpinggir, menyokong pendidikan, penjagaan kesihatan dan menyediakan peluang-peluang bagi pemerkasaan ekonomi.

    Haji Mohammad Yusri (dua kanan), Mohd Nazri Chik (satu kanan), Dr Irfan Shauqi Beik (dua kiri) dan Dr Mohamad Hairul Azrin semasa sesi perbincangan panel yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, baru-baru ini.
    Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi memberikan penerangan kepada Dr Sami Al-Suwailem ketika melawat ke petak pameran pada majlis berkenaan.

    Untuk mencapai objektif berkenaan secara efektif, ulasnya lagi, kolaborasi dengan pelbagai pihak yang berkepentingan adalah penting.

    “Kerjasama dengan kerajaan, agensi-agensi relevan dan masyarakat itu sendiri, membolehkan Pembiayaan Sosial Islam untuk memaksimumkan impaknya,” tambahnya.

    Haji Mohammad Yusri menyatakan bahawa dengan menyediakan rangka kerja telus, pihak yang berkepentingan dapat memahami dengan lebih baik impak dan tujuan bagi sumbangan mereka, menjana keyakinan dan menggalakkan penyertaan lebih lanjut.

    Sementara itu, pada 13 Jun, BIF juga mengambil bahagian dalam panel perbincangan yang menimbulkan pemikiran bertajuk, Islamic Fintech and Resilient & Sustainable Future: Bringing Them All Together yang dipandu oleh moderator perbincangan iaitu Ketua Inovasi BIBD, Awang Adi Shamsul bin Haji Sabli.

    Dengan menekankan komitmen BIBD untuk memacukan inovasi dan pertumbuhan mampan dalam industri kewangan Islam Awang Adi Shamsul membimbing para ahli panel melalui perbincangan yang meriah di mana ia meneroka persimpangan FinTech Islam dan peranan penting teknologi dalam memupuk kemampanan dan daya tahan di dalam ekosistem kewangan Islam.

    BIBD sedang mengambil bahagian dalam Sidang Kemuncak BIF 2023 di mana ia merupakan sebaghagian komitmennya untuk mempromosikan pertumbuhan mampan dalam industri kewangan Islam.

    BIF 2023 yang berlangsung dari 12 Jun hingga 14 Jun di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas dianjurkan oleh Brunei Institute of Leadership and Islamic Finance (BILIF) dengan kolaborasi Islamic Development Bank (IsDB) dan World Bank Group.

    Dengan mengetengahkan tema, Securing a Resilient & Sustainable Future through Innovative Islamic Finance, sidang kemuncak berkenaan diadakan bersempena dengan Persidangan dan Pameran Pertengahan Tahun Brunei (Brunei MYCE) 2023 dan bermatlamat untuk menjadi sebuah platform menonjol bagi pakar-pakar ternama, pemimpin dan pengamal-pengamal dalam kewangan Islam untuk berkumpul dan berinteraksi dalam perbincangan bermakna terhadap isu-isu utama, peluang dan cabaran-cabaran yang dihadapi oleh industri.

    BIBD sebagai salah satu penaja utama bagi sidang kemuncak tersebut, mengenali akan pentingnya acara seumpama ini dalam memupuk pertukaran pengetahuan dan sebagai salah sebuah institusi kewangan terbesar di Brunei. Bank itu terus komited untuk memacu pertumbuhan mampan dan menyumbang kepada pembangunan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah hab kewangan Islam.

    Sidang kemuncak berkenaan yang disokong oleh Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) menyediakan peluang yang cemerlang bagi Negara Brunei Darussalam untuk menunjukkan potensinya sebagai sebuah hab kewangan Islam dan mengetengahkan kepakaran bakat-bakat tempatan dalam bidang berkenaan.

    Sokongan BIBD kepada BIF 2023 dan Brunei MYCE 2023 mencerminkan komitmen bank berkenaan untuk menyumbang kepada Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (SDG) termasuk menghapuskan kemiskinan (SDG 1), mempromosikan pendidikan berkualiti dan inklusif (SDG 4), mempromosikan pertumbuhan ekonomi mampan (SDG 8) dan memupuk kerjasama bagi pembangunan mampan (SDG 17).

    Di samping itu, BIBD juga mempamerkan komitmen untuk membantu negara mencapai Wawasan Brunei 2035 dan menunjukkan peranan unggul BIBD dalam agenda kemampanan.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda