HANOI, 6 NOV – Sebuah kompleks kediaman yang besar sedang dibina di sempadan Teluk Ha Long di Vietnam mencetuskan bantahan orang ramai di negara Asia Tenggara itu hari ini, ketika kebimbangan meningkat mengenai impak manusia yang telah menjejaskan Tapak Warisan Dunia UNESCO.
Teluk itu, yang terkenal dengan perairan hijau kebiruannya yang berkilauan dengan pulau-pulau batu kapur dan hutan hujan yang menjulang tinggi, merupakan salah satu destinasi pelancongan paling popular di Vietnam, menarik lebih tujuh juta pengunjung tahun lepas.
Pantai dan bandar sekitarnya sudah banyak dibangunkan. Tetapi kelmarin, gambar-gambar telah diterbitkan dalam media kerajaan mengenai tapak pembinaan yang besar yang melintasi perairan – dan bersebelahan dengan karst yang menakjubkan – Teluk Bai Tu Long, yang bersempadan dengan Ha Long.
Pemilik projek, Syarikat Do Gia Capital Limited, sedang menyediakan tapak untuk kompleks kediaman dan hotel di kawasan lebih daripada 318,000 meter persegi, lapor akhbar Tien Phong.
Akhbar itu melaporkan bahawa tapak pembinaan tersebut berada dalam ‘zon penampan’ Ha Long Bay, yang menurut UNESCO menyediakan lapisan perlindungan tambahan kepada warisan dunia itu.
Setelah siap, kompleks itu akan mengandungi 451 vila dan rumah, beberapa hotel tujuh tingkat serta kawasan perkhidmatan dan perdagangan, tambah Tien Phong.
Truong Quoc Binh, bekas timbalan ketua jabatan warisan kementerian kebudayaan, berkata ‘sempadan Teluk Ha Long telah diceroboh dengan serius’, menurut akhbar itu.
Dalam catatan Facebook yang menerima ribuan tanda suka dan perkongsian, Nguyen Xuan Dien, seorang penyelidik sejarah terkenal, menggelar rancangan itu sebagai ‘ancaman langsung’ kepada tapak warisan dunia itu. – AFP