Tuesday, October 1, 2024
27.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembinaan BIBD Connects Temburong bermula

    Oleh Sim Y. H.

    TEMBURONG, 1 OKT – Dengan matlamat untuk meningkatkan penglibatan komuniti serta menyediakan kemudahan moden bagi para usahawan tempatan khususnya usahawan Daerah Temburong, Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) secara rasminya memulakan pembangunan BIBD Connects terbaru yang terletak di Labu Square, Daerah Temburong.

    BIBD Connects Temburong dihasratkan sebagai sebuah projek infrastruktur canggih di mana pembangunannya adalah selaras dengan komitmen BIBD kepada memupuk pertumbuhan holistik dan mampan di kesemua daerah di Negara Brunei Darussalam.

    Rekabentuk model BIBD Connects Temburong.

    Sehubungan dengan itu, upacara pecah tanah bagi BIBD Connects Temburong telah disempurnakan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Pengerusi BIBD, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.

    Atas & Bawah: Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin menyempurnakan upacara pecah tanah berkenaan.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Sulaiman bin Haji Nasir; Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif BIBD, Awang Junaidi bin Haji Masri; serta Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, pengurusan kanan dan kakitangan BIBD, wakil-wakil dari Pejabat Daerah Temburong dan ahli-ahli masyarakat setempat.

    Projek yang dijangka siap pada pertengahan 2025, merupakan sebuah bangunan pelbagai tingkat yang direka dengan kesedaran alam sekitar dan kemampanan yang mengetengahkan rekaan cekap tenaga serta akan menggabungkan penuaian air hujan dan solar panel untuk bekalan elektrik dan memastikan impak minimum kepada alam sekitar.

    Elemen-elemen hijau berkenaan mencerminkan inisiatif kemampanan BIBD yang meluas yang juga disaksikan dalam ciri-ciri mesra alam Cawangan Warisannya di Bandar Seri Begawan, yang mengukuhkan lagi komitmen bank berkenaan kepada infrastruktur hijau.

    Sebagai kemudahan ketiga dalam siri BIBD Connects berikutan kejayaan di Lambak dan Taman Mahkota Jubli Emas, projek Temburong berkenaan akan mengetengahkan beberapa kemudahan utama untuk dinikmati oleh penduduk setempat seperti perkhidmatan ATM, ruang boleh disewa bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) serta kawasan makanan dan minuman untuk penyewa-penyewa dari syarikat yang utama. Dengan menawarkan ruang-ruang yang mampu milik serta mudah diakses, BIBD berhasrat untuk memperkasa perusahaan tempatan agar maju dalam sebuah pasaran kompetitif.

    Atas & Bawah: Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin semasa melawat dan menyaksikan pameran pada tapak pembinaan. GAMBAR-GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Bangunan itu juga akan mengetengahkan sebuah ruang komunal pusat, menawarkan tempat serba boleh bagi menganjurkan pelbagai acara seperti pasar pop-up, perkumpulan sosial, bengkel dan acara-acara korporat. Dengan susunan tempat duduk fleksibel dan elemen rekaan moden, ruang itu menyediakan suasana berfungsi dan mengalu-alukan bagi acara-acara santai mahupun formal.

    Pembangunan BIBD Connnects di Temburong adalah sebahagian daripada komitmen berterusan BIBD kepada menyumbang ke arah Wawasan Brunei 2035, yang mengutamakan kepelbagaian ekonomi mampan dan pertumbuhan saksama.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda