Tuesday, May 13, 2025
25.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembinaan blok baharu sekolah daif bermula hujung Februari

    KUCHING, 30 Jan – Kerja-kerja pembinaan blok baharu menggunakan  Sistem Binaan Berindustri (IBS) di 51 Sekolah Kebangsaan (SK) daif di Sarawak dijangka bermula hujung bulan depan, selepas proses tender dimuktamadkan dan kontraktor serta pengeluar bahan dikenal pasti.

    Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia adalah kira-kira 30 peratus daripada 180 sekolah daif yang dikenal pasti serta mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan untuk dibangunkan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala selebihnya diserah kepada Kementerian Pendidikan.

    Beliau berkata menerusi fasa pertama, kerajaan memperuntukkan RM500 juta untuk kerja-kerja pembinaan di 180 sekolah itu tahun ini, manakala RM500 juta lagi untuk pembangunan mengikut fasa kedua yang dirancang tahun depan.

    “Sebaik sahaja kerja-kerja pembinaan bermula, sasaran kita adalah untuk kontraktor terlibat menyiapkan kerja mereka dalam tempoh tiga bulan kemudian,” katanya kepada pemberita selepas menutup program Lestari Modal Insan Koperasi dan Bicara Ilmu ‘Transformasi Perniagaan Melalui Platform Digital: Potensi dan Peluang, di Dewan Hikmah’, di sini hari ini.

    Katanya sekolah-sekolah itu terletak di Lubok Antu (8), Limbang (6), Miri, Baram, Lawas (6), Mas Gading (5), Puncak Borneo (5), Sarikei (4), Julau, Sibu Lanang (4), Bintulu, Sibuti (4), Selangau, Kanowit (3), Mukah (3), dan Igan, Tanjung Manis (3).

    Terdahulu dalam ucapannya di majlis itu, Fadillah berkata statistik menunjukkan hingga Jun lepas, 1,002 koperasi didaftar di Sarawak, iaitu 7.4 peratus daripada keseluruhan koperasi dalam negara.

    Beliau berkata jumlah keanggotaan koperasi di Sarawak melebihi 320,000 orang yang memiliki modal syer dan yuran melebihi RM130 juta, serta keseluruhan aset RM558.7 juta sehingga mampu menjana perolehan melebihi RM140 juta.

    Katanya perangkaan ini menunjukkan gerakan koperasi di Sarawak mempunyai kekuatan dari segi keanggotaan dan bidang ekonomi yang boleh digembleng menerusi pelbagai aktiviti perniagaan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda