WASHINGTON, 22 OKT – Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, hari ini mengetepikan kritikan terhadap perobohan sebahagian Rumah Putih bagi membina sebuah dewan tari-menari baharu, dengan menyifatkan kerja pembinaan itu sebagai ‘berita menggembirakan’.
Ahli-ahli Demokrat menuduh presiden Republikan itu tidak menghormati kediaman rasmi presiden selepas gambar menunjukkan jentolak merobohkan sebahagian ‘East Wing’ bangunan bersejarah tersebut.
Ketika wartawan AFP menyaksikan kerja perobohan diteruskan kelmarin, ahli Demokrat turut mengkritik Trump kerana meneruskan projek bernilai AS$250 juta itu sedangkan rakyat Amerika sedang berdepan penutupan kerajaan dan kos sara hidup yang tinggi.
Namun, tokoh hartanah berusia 79 tahun itu menegaskan bahawa kerja tersebut ‘perlu dilakukan’ dan menambah bahawa pembayar cukai tidak akan menanggung sebarang kos.
“Kami sedang membina sebuah dewan tari-menari bertaraf dunia.

“Selama 150 tahun mereka mahukan sebuah dewan tari-menari,” kata Trump dalam satu jamuan makan tengah hari bersama senator Republikan di Rumah Putih, sementara bunyi mesin pembinaan kedengaran di latar belakang.
“Awda mungkin dengar bunyi indah pembinaan di belakang sana. Dengar bunyi itu? Oh ia bunyi menyenangkan. Saya suka bunyi itu,” katanya.
Trump, yang mengumpul kekayaan daripada sektor pembinaan, menambah, “Apabila saya dengar bunyi itu, ia mengingatkan saya kepada wang. Dalam kes ini, ia mengingatkan saya kepada kekurangan wang sebab saya yang membayarnya.”
Presiden AS itu menjelaskan beliau membiayai sebahagian kos pembinaan dewan tersebut, manakala selebihnya akan ditanggung oleh penderma swasta dan korporat.
Minggu lalu, Trump menganjurkan jamuan mewah untuk penderma yang turut dihadiri beberapa syarikat teknologi besar AS, namun Rumah Putih belum mendedahkan senarai tetamu atau jumlah sumbangan. – AFP

