BALIKPAPAN, INDONESIA – Jalan yang berliku-liku menuju ke ibu negara baharu Indonesia didereti dengan hutan hujan tropika dan ladang, diselang-seli dengan bunyi celoteh monyet yang bersantai di tarmak batu tar.
Terletak di timur Borneo – pulau ketiga terbesar dunia – Nusantara dijangka mengganti Jakarta sebagai pusat politik Indonesia menjelang 2024.
Namun perjalanan dua jam dari bandar Balikpapan ke kawasan hijau Nusantara yang luas terbentang mendedahkan impak ibu negara baharu itu ke atas kawasan biodiversiti yang menjadi tempat tinggal kepada ribuan spesies haiwan dan tumbuhan.
Dengan pembinaan dijangka dipercepat pada tahun ini, pencinta alam sekitar mengingatkan pembinaan metropolis itu akan mempercepat pembasmian hutan di salah satu hutan hujan tropika terbesar dan tertua di dunia, dianggarkan berusia lebih daripada 100 juta tahun.
“Ia akan menjadi bencana ekologi besar-besaran,” beritahu Uli Arta Siagan, ahli kempen hutan untuk kumpulan alam sekitar Walhi, kepada AFP.
Pulau yang digelar ‘paru-paru dunia’ oleh warga Indonesia – dikongsi bersama Malaysia dan Brunei – menjadi tempat tinggal kepada monyet, harimau akar, keluang dan badak terkecil di planet.
Namun menjelang 2045, kerajaan Indonesia berkata Nusantara akan menjadi tempat huni kepada 1.9 juta penduduk, lebih dua kali ganda daripada populasi Balikpapan, memperkenalkan gelombang aktiviti manusia dan industri ke pusat Borneo.
Perpindahan ke kawasan seluas 2,560 kilometer persegi menyusuli perpindahan ibu negara Brazil ke Brasilia – dianggap kegagalan masyarakat bandar – dan Myanmar ke bandar lengang Naypyidaw.
Perubahan drastik ke topografi daratan dan krisis buatan manusia yang menyusul ‘adalah serius dan jauh lebih sukar untuk diatasi berbanding dengan bencana semula jadi,’ kata Siagian.
Indonesia juga mempunyai salah satu kadar pembasmian hutan tertinggi di dunia yang dikaitkan dengan perlombongan, perladangan dan pembalakan, dan dituduh membenarkan firma beroperasi di Borneo tanpa pengawasan.
Bagaimanapun, kerajaan berkata ia mahu mengagih-agihkan pembangunan ekonomi – lama tertumpu di Jawa – di gugusan kepulauan itu, dan berpindah dari Jakarta sebelum bandar itu tenggelam disebabkan pengekstrakan air dalam tanah secara berlebihan.
Presiden Indonesia, Joko Widodo telah mempromosi wawasan bandar ‘hijau’ saiz sebesar empat kali ganda Jakarta di mana penduduk akan berulang-alik menggunakan bas elektrik.
Ketua perbandaran, Bambang Susantono, membentangkan pelan awal kepada wartawan pada pertengahan Disember, menjanjikan karbon neutral menjelang 2045 dalam apa yang digelarnya sebagai bandar hutan mampan pertama di dunia.
Arkitek Sofian Sibarani akan ditugaskan dengan pelan induk untuk bandar baharu itu, menggaris kasar segala-galanya daripada peta jalan kepada sistem transit. Beliau menegaskan pelan tersebut membayangkan ‘perubahan minimum kepada alam sekitar.’
Sibarani bercakap mengenai metropolis yang muncul dari hutan, dan bukan menggantinya.
“Kami cuba membangunkan sebuah bandar yang wujud seiring dengan alam semula jadi dan bukan memusnahkannya,” ujar beliau.
Projek awal termasuk sebuah parlimen, kediaman pekerja, empangan, masjid dan istana presiden berbentuk burung Garuda.
Bagaimanapun, pakar, termasuk Sibarani telah mengingatkan pihak berkuasa tentang pembangunan pesat.
“Saya bimbang sekiranya kami melakukannya secara tergesa-gesa, kami mungkin berkompromi,” ujarnya.
Nusantara mungkin juga mendorong komuniti penduduk asli berusia beberapa generasi itu kehilangan tempat tinggal.
Sibukdin, ketua puak asli Balik yang menggunakan satu nama, duduk di sebuah rumah kayu di tanah yang ditandai untuk pembangunan bandar ketika dia meluahkan kebimbangan bahawa pembangunan akan mengusir puaknya.
Seperti kumpulan penduduk asli lain di Borneo, ribuan anggota puak Balik bergantung pada hutan untuk memenuhi keperluan harian mereka.
Lebih 90 peratus daripada hutan yang digunakan oleh puak untuk memburu dan mencari makanan telah pun lenyap akibat aktiviti komersial sejak 1970, kata Sibukdin.
Tapak perkuburan puak penduduk asli berdekatan telah dirobohkan disebabkan projek empangan, membuatkannya patah hati. “Ia menghapus warisan kami,” ujarnya.
Sementara pegawai telah berikrar akan menghormati hak penduduk asli dan membayar pampasan kepada mereka yang terjejas oleh Nusantara, pegawai wilayah berkata mereka akan mengesahkan semua tuntutan tanah dan hanya menerima bukti pemilikan.
Sibukdin berkata bukan semua kawasan puak Balik telah diiktiraf secara formal.
“Apabila ibu negara baharu dibina, di manakah kami akan pergi?” tanyanya.
Sementara Susantono berkata peringkat pertama akan selesai pada tahun depan, bandar itu tidak akan siap selama beberapa dekad.
Projek itu akan menelan kos 466 trilion rupiah (AS$30 bilion), dengan wang pembayar cukai merangkumi kira-kira 20 peratus, menurut anggaran kerajaan.
Jakarta telah berusaha untuk menarik pelabur berpotensi, termasuk Arab Saudi dan China, dengan potongan cukai besar untuk membayar kos tersebut.
Ia berjaya mendapatkan sokongan tiga pemaju harta tanah untuk membiayai perumahan bernilai 41 trilion rupiah, beritahu setiausaha pihak berkuasa Nusantara, Achmad Adiwijaya kepada AFP.
Namun pembiayaan telah terbukti sukar, dengan beberapa komitmen yang diumumkan. Konglomerat teknologi Jepun, SoftBank telah menarik balik sokongannya dalam projek itu pada Mac tanpa mengulas lanjut.
Ia meninggalkan Indonesia dengan kempen sukar untuk memindah dan mencari wang untuk membuka pintu Nusantara pada masa Widodo meninggalkan jawatannya, sekali gus menimbulkan kebimbangan Jakarta mungkin mengambil jalan mudah.
Eka Permanasari, profesor reka bentuk bandar di Universiti Monash Indonesia, memberi amaran masih banyak ‘penyelidikan yang perlu dilakukan.’
Kehidupan telah pun berubah menjadi lebih teruk untuk sesetengah habitat haiwan di kawasan itu.
Di tempat perlindungan yang dihuni kira-kira 120 ekor beruk di tanah yang diperuntukkan untuk pembangunan masa depan Nusantara, pemburuan haram telah meningkat sejak lokasi ibu negara diumumkan.
“Spekulator lombong, tanah, mereka menceroboh tempat kami,” kata Ketua Eksekutif Yayasan Survival Orangutan Borneo (BOSF), Jamartin Sihite.
Kira-kira 40 peratus daripada 1,800 hektar kawasan penghutanan semula yang dikendali BOSF telah musnah dalam beberapa tahun ini, termasuk lombong haram yang dibina di sana, kata Sihite.
Peningkatan dalam aktiviti mengancam pelbagai spesies haiwan dan tumbuhan di hutan lama ini.
Agus Bei, yang menguruskan rizab hutan bakau, mengingatkan penebangan pokok-pokok berkenaan untuk keuntungan hanya akan meninggalkan kesan yang sukar dipulihkan.
“Generasi akan datang hanya boleh mendengar kisahnya,” katanya, berdiri di bawah pokok bakau yang dilindunginya. – AFP