Tuesday, May 13, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembinaan jalan berturap getah bergantung kepada hasil projek perintis

    KUCHING, 29 Jan – Pembinaan jalan berturap gerah hanya akan dibina di negara ini jika ia terbukti boleh dilaksanakan dari segi teknikal dan kewangan, kata Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof.

    “Kita telah melaksanakan tiga projek perintis di tiga tapak di Selangor dan Negeri Sembilan (satu kilometer setiap satu) dan sekarang jalan-jalan ini masih di peringkat proses penilaian,” kata Fadillah ketika ditemui pemberita selepasmenghadiri sesi khas dengan peserta Jom Masuk Universiti (JMU) 2017 anjuran Halaqah Kemajuan Islam Sarawak (HIKAM) di sini hari ini.

    Beliau diminta mengulas kenyataan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong semalam bahawa kerajaan akan memulakan kerja-kerja membina jalan diturap getah di beberapa bahagian negara ini menjelang tahun ini.

    Fadillah berkata biasanya proses penilaian mengambil masa kira-kira dua tahun tetapi beliau memberikan tempoh satu tahun untuk penilaian bagi aspek kos dan tenikal tetapi yang lebih penting hasilnya menggunakan campuran getah bekuan dan bitumen sama ada ia membantu memantapkan jalan raya supaya lebih berkekalan berbanding cara konvensional.

    “Keputusan akhir akan diketahui tahun ini dan ketiga-tiga projek perintis tersebut menunjukkan sedikit tanda-tanda positif bahawa ini akan menjadi satu daripada opsyen.

    “Bagaimanapun, akhirnya ia tertakluk kepada bahagian teknikal dan kewangan sambil menambah bahawa projek perintis keempat menggunakan kaedah yang sama akan dilaksanakan di Pahang tidak lama lagi.

    Fadillah berkata jika terbukti baik dari segi teknikal dan kewangan, ia akan dilaksanakan dalam projek Lebuh Raya Pan Borneo di Sarawak.

    Menurut Fadillah, kos pembinaan jalan berturap getah mahal sedikit daripada cara konvensional tetapi kos penyelenggaraannya adalah lebih murah dalam jangka panjang.

    Terdahulu, semasa sesi dialog dengan peserta, Fadillah mengingatkan mereka bahawa memasuki universiti tidak memberi jaminan bahawa mereka akan mendapat kerja dalam perkhidmatan awam atau swasta.

    “Memasuki universiti adalah untuk anda mendapat pendidikan formal kerana kerajaan menyediakan bilangan pekerjaan yang terhad tetapi apa yang kerajaan boleh memberi jaminan ialah mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi kepada rakyat,” katanya.

    Justeru, beliau menyeru graduan universiti untuk merebut peluang-peluang ekonomi yang diwujudkan oleh kerajaan dengan menceburi perniagaan. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda