Friday, April 19, 2024
23.7 C
Brunei

    -

    Pembinaan kereta api ancam khazanah bawah tanah Mexico

    PLAYA DEL CARMEN, MEXICO – Kenderaan jentolak tersadai bersebelahan longgokan tunggul kayu di sepanjang laluan yang dipertikaikan untuk kereta api pelancong Mexico yang baharu.

    Di bawah hutan, pencinta alam sekitar memberi amaran bahawa sungai berselirat dan gua bawah tanah juga terancam.

    Rangkaian kereta api yang sedang dibina antara pusat peranginan pantai Caribbean yang popular dan puing-puing arkeologi menjadi titik pertikaian undang-undang antara pihak berkuasa dan aktivis alam sekitar.

    Pada bulan lalu, seorang hakim menggantung kerja-kerja di sebahagian landasan Kereta Api Mayan sepanjang kira-kira 1,500 kilometer, iaitu projek utama Presiden Andres Manuel Lopez Obrador.

    Pihak pembangkang bimbang bahawa satu bahagian di antara pusat peranginan Playa del Carmen dan Tulum akan membawa kerosakan yang tidak boleh diperbaiki pada rangkaian gua, sungai dan lubang benam di bawah tanah yang dikenali sebagai cenote yang bersambung ke Laut Caribbean.

    Pemandangan udara menunjukkan jentera berat diletakkan di tapak pembinaan Seksyen 5 Selatan Kereta Api Mayan antara pusat peranginan Playa del Carmen dan Tulum yang pembinaannya diarah dihentikan oleh hakim daerah buat sementara waktu. – AFP
    Seorang aktivis meneroka gua yang baru ditemui dan dinamakan El Escondrijo (The Hidden) dan disyaki mempunyai peninggalan arkeologi. – AFP
    Tania Ramirez berjalan keluar dari gua yang dikenali sebagai Dama Blanca (White Lady) di tapak pembinaan tersebut. – AFP

    Pemandangan udara menunjukkan jentera berat diletakkan di tapak pembinaan Seksyen 5 Selatan Kereta Api Mayan antara pusat peranginan Playa del Carmen dan Tulum yang pembinaannya diarah dihentikan oleh hakim daerah buat sementara waktu. – AFP
    Seorang aktivis meneroka gua yang baru ditemui dan dinamakan El Escondrijo (The Hidden) dan disyaki mempunyai peninggalan arkeologi. – AFP
    Tania Ramirez berjalan keluar dari gua yang dikenali sebagai Dama Blanca (White Lady) di tapak pembinaan tersebut. – AFP

    “Ia bagaikan bunuh diri,” kata Tania Ramirez, seorang aktivis dan pakar gua berusia 42 tahun.

    “Ia seperti memotong pergelangan tangan awda,” katanya kepada AFP.

    Sebuah tempat yang selalunya dipenuhi dengan air warna firus atau biru yang menakjubkan, diterangi oleh pancaran cahaya dari atas, cenotes merupakan tarikan utama bagi pelancong yang melawat Riviera Maya di Semenanjung Yucatan.

    Terdapat ribuan lubang benam di dalam hutan Mayan yang subur dan bersambung dengan batu poros gergasi yang menjadi sumber air minuman bagi masyarakat setempat.

    Gua yang paling baharu ditemui menyimpan tinggalan arkeologi, kata Ramirez, yang percaya bahawa orang asli Mayan pernah menyimpan makanan di sana.

    “Awda boleh menemui sebuah gua pada setiap langkah,” katanya.

    Sementara pihak berkuasa sering menegaskan gua-gua itu tidak dirancang namun pada hakikatnya semuanya adalah saling berkaitan, tambah Ramirez.

    ‘Keju Gruyere’

    Aktivis menggambarkan kawasan di bawah tanah sebagai ‘keju gruyere’ disebabkan ciri-cirinya yang mempunyai banyak lubang.

    “Ia adalah kawasan berongga yang tidak dapat menampung berat kereta api,” kata Vicente Fito, seorang penyelam berusia 48 tahun yang menceburi dunia bawah tanah hampir setiap hari.

    Landasan tersebut “akan melalui tempat di mana segala-galanya seperti yang dinyatakan, dengan atau tanpa air, tetapi berongga,” katanya.

    Pelan asal untuk bahagian yang dipertikaikan adalah membina jejantas di atas lebuh raya, tetapi laluan itu telah diubah suai pada awal tahun untuk melalui hutan di aras tanah.

    Lopez Obrador, yang berharap untuk merasmikan landasan kereta api berkenaan pada penghujung 2023, berkata ia disebabkan tanah itu lebih kukuh di dalam hutan lebih jauh ke pedalaman dengan kurang cenote dan sungai.

    Laluan asal tersebut turut menjejaskan industri perhotelan berikutan kesesakan akibat kerja pembinaan di kawasan bandar.

    Pada April lalu, mahkamah di negeri tenggara, Yucatan memerintahkan penggantungan kerja di bahagian yang dipertikaikan itu, salah satu daripada beberapa tempat yang dibina oleh tentera dan sementara menunggu penyelesaian injunksi yang diminta oleh pihak aktivis.

    Hakim memetik kekurangan kajian kesan alam sekitar – alasan yang dirancang dicabar oleh kerajaan dalam perbicaraan akan datang.

    ‘Penyamar?’

    “Kereta api itu tidak akan menjejaskan cenote. Ia tidak akan menjejaskan sungai bawah air. Itu adalah satu ciptaan,” kata Lopez Obrador.

    Beliau mendakwa bahawa pakar alam sekitar telah disusupi oleh ‘penyamar’ dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dibiayai oleh pemilik hotel dan Amerika Syarikat (AS).

    Lopez Obrador berkata bahawa kerajaan telah melakukan penghutanan semula seluas hampir 500,000 hektar di wilayah berkenaan.

    Presiden Mexico bertaruh bahawa projek kereta api bernilai AS$10 bilion itu akan membantu pembangunan ekonomi di salah sebuah wilayah paling miskin di negara tersebut.

    Presiden Majlis Penyelaras Perniagaan Riviera Maya, Lenin Betancourt, melihat landasan kereta api sebagai peluang untuk mengurangkan kemiskinan yang semakin teruk di bandar peranginan Cancun dan Tulum walaupun terdapat faedah pelancongan.

    “Kami perlu membangunkan jenis dan skala projek ini,” katanya, sementara menggesa supaya melindungi seberapa kecil kesan alam sekitar yang mungkin. Pelancongan membentuk hampir sembilan peratus daripada ekonomi Mexico.

    Otto Von Bertrab, seorang pakar gua dan aktivis, percaya satu-satunya jawapan adalah untuk kembali ke laluan asal dengan kereta api dibina di atas lebuh raya yang membawa pelancong dan pekerja ke hotel dan bandar di sepanjang jalan.

    Jika tidak, ‘warisan presiden ini akan menjadi satu kemusnahan,’ katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gempa bumi 6.3 magnitud di Jepun cederakan 8 orang

    TOKYO, 18 APRIL – Lapan orang dilaporkan cedera hari ini selepas gempa bumi berukuran 6.3 magnitud melanda barat daya Jepun, tetapi tiada kerosakan besar...