Sunday, July 13, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembinaan kilang bateri EV Jepun ditangguhkan

    COLUMBIA, 8 JUN – Sebuah syarikat Jepun telah menghentikan pembinaan kilang bernilai AS$1.6 bilion di Carolina Selatan yang bertujuan untuk mengeluarkan bateri bagi kenderaan elektrik (EV) BMW, dengan alasan ketidaktentuan dasar dan pasaran.

    Syarikat Automotive Energy Supply Corporation (AESC) tidak menyatakan secara terperinci masalah yang dihadapi, namun Gabenor Carolina Selatan daripada Parti Republikan, Henry McMaster, berkata syarikat itu kini bergelut dengan kemungkinan kehilangan potongan cukai persekutuan untuk pembeli EV, insentif kepada perniagaan EV, serta ketidaktentuan tarif yang berpunca daripada pentadbiran Presiden Donald Trump.

    “Apa yang kami lakukan adalah menggesa agar berhati-hati biarkan keadaan berkembang dahulu kerana pelbagai perubahan sedang berlaku,” kata Gabenor McMaster.

    AESC mengumumkan penangguhan pembinaan kilangnya di Florence pada Khamis lalu.

    “Kerana ketidaktentuan dasar dan pasaran, kami kini menghentikan sementara pembinaan di fasiliti kami di Carolina Selatan,” kata kenyataan syarikat itu.

    Gambar Freepik

    AESC berjanji akan menyambung semula pembinaan walaupun tidak menyatakan bila, dan menegaskan komitmennya untuk menggaji 1,600 pekerja serta melabur AS$1.6 bilion.

    Syarikat itu menyatakan mereka telah pun melabur AS$1 bilion di kilang Florence setakat ini.

    Pengeluar bateri yang berpangkalan di Jepun itu turut mempunyai fasiliti di China, United Kingdom, Perancis, Sepanyol dan Jerman. Di Amerika Syarikat, AESC mempunyai sebuah kilang di Tennessee dan sedang membina sebuah lagi di Kentucky. Kenyataan itu tidak menyebut sebarang perubahan pada fasiliti lain.

    Kilang di Carolina Selatan itu dijangka menjual sel bateri kepada BMW, yang sedang membina tapak pemasangan baterinya sendiri berhampiran kilang automobil gergasinya di Greer. BMW menyatakan bahawa penangguhan pembinaan oleh AESC tidak mengubah rancangan mereka untuk membuka kilang tersebut pada tahun 2026.

    AESC sebelum ini telah menyemak semula perancangan mereka di Carolina Selatan.

    Mereka pernah mengumumkan pembinaan kilang kedua di tapak Florence, namun kemudian memaklumkan bahawa kilang pertama sahaja sudah mencukupi bagi memenuhi permintaan BMW. Keputusan itu menyebabkan pihak berkuasa negeri menarik balik bantuan bernilai AS$111 juta yang pada asalnya dirancang untuk diberikan. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda