Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 7 MAC – Perancangan tanah-tanah wakaf itu lazimnya bergantung kepada niat seseorang pewakaf seperti diwakafkan untuk pembinaan masjid atau surau maka perkara itu semestinya dipenuhi dan jika belum dipenuhi akan diusahakan sebaiknya.
Walau bagaimanapun, pembinaan masjid atau surau itu juga bergantung kepada lokasi dan keluasan tanah wakaf itu di mana jika lokasinya itu di tempat yang sudah memiliki masjid maka dalam hal ini tiada keperluan untuk pembinaannya ataupun di tempat yang belum ada masjid namun keluasan tanah wakaf itu tidak menepati kehendak bagi pembinaannya seperti tanah wakaf yang hanya memiliki keluasan setengah ekar di mana ia juga memerlukan keperluan untuk menempatkan kawasan letak kereta jemaah.
Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman menjelaskan perkara itu bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah@ Lim Swee Ann, pada hari ke-7 Persidangan MMN di Bangunan Dewan Majlis, kelmarin.
Yang Berhormat Pehin menyatakan, terpulang kepada Majlis Ugama Islam Brunei untuk menentukan tanah-tanah wakaf yang tidak dapat dibangunkan bagi masjid atau surau sebagaimana yang diniatkan oleh pewakaf, dalam hal ini akan diikuti dengan hukum-hukum tertentu.
Beliau berkata, perkara-perkara hukum berkenaan akan lebih kemas lagi apabila akta berhubung wakaf yang sedang dalam peringkat penyelesaian terakhir oleh pihak-pihak yang berkenaan pada masa ini telah siap.
![](https://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2024/03/P4-infofoto_08032024.jpg)