CHIKAN, China – Setahun yang lalu, para pelanggan kelihatan beratur panjang untuk mendapatkan kacang merah dan puding ais kelapa Wu Ying, namun kini, pengusaha berusia 60 tahun itu terpaksa melintasi penghadang untuk sampai ke kedainya itu.
Wu adalah salah seorang daripada beberapa penghuni yang tinggal di bahagian bersejarah di bandar Chikan, selatan China, yang mana mereka adalah antara yang berkeras menentang tekanan kerajaan untuk menjual hartanah mereka, dalam memberi laluan kepada taman tema ‘warisan’.
Chikan telah disenaraikan sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada bulan Jun 2007 oleh kerana rumah-rumahnya yang berusia sejak abad ke-19 dan awal abad ke-20, yang menampilkan gabungan seni bina masyarakat Eropah dan Cina yang unik, mempunyai menara jam dan ukiran dinding batu yang mengagumkan. Tetapi penduduk tempatan mengatakan bahawa perhatian antarabangsa itu telah menjadi sumpahan.
Tahun lalu, pihak berkuasa perbandaran telah mengumumkan perjanjian bernilai AS$900 juta bersama firma pelaburan Citic Private Equity Fund untuk menjadikan Chikan sebagai pusat tarikan pelancong.
Bangunan bersejarahnya akan dijadikan hotel, bar, restoran, kedai-kedai perhiasan dan kafe bagi pengunjung yang membayar yuran masuk.


Chen Jiewan, Timbalan Datuk Bandar Raya Kaiping, tempat terletaknya Chikan, berkata bahawa projek itu dibina bagi bertujuan untuk ‘melindungi peninggalan budaya Chikan’ dan menarik tumpuan pelancong, menggesa semua orang ‘bekerja lebih masa’ menjelang pembukaannya yang disasarkan pada tahun hadapan.
Hampir 4,000 isi rumah telah menerima notis kerajaan yang menyuruh mereka untuk keluar segera, dengan kebanyakan mereka menerima tawaran pampasan. Tetapi sekurang-kurangnya 58 isi rumah telah menolak dan menerima surat ‘notis akhir’ pada akhir bulan Mei lalu.
“Para penduduk terlalu takut untuk menolak. Ini benar-benar tidak masuk akal kerana mereka telah memaksa kami keluar atas nama pemuliharaan,” kata Wu.
Pihak berkuasa telah menutup beberapa jalan dan sepanduk merah berada di hadapan bangunan, menggesa penduduk untuk tidak ‘berdiri berdekatan dengan bangunan yang dibaik pulih itu.’
Suasana sedemikian adalah sesuatu yang sudah biasa dilihat di bahagian-bahagian bersejarah China, di mana perjanjian telah dimeterai antara kerajaan tempatan dan juga pemaju.
Pada tahun 1999, semua penduduk telah diusir dari ‘bandar air’ purba Wuzhen berhampiran Shanghai, yang kini mengenakan bayaran sebanyak 200 yuan (AS$30) bagi tiket masuk dan lawatan bandar itu dengan menggunakan bot terusan.
Dengan undang-undang yang begitu samar-samar dan perlindungan harta pemilik yang kurang, peningkatan pe-ngusiran secara paksa telah menjadi sumber ketidakpuasan penduduk, menurut Amnesty International.
Pegawai-pegawai tempatan sering menghadapi tekanan untuk memulihara tapak warisan tersebut, namun projek-projek yang dihasilkan “sering dijadikan sebagai komersial, di mana mereka tidak mengambil kira terhadap perspektif akar umbinya,” kata Leksa Lee, seorang pakar dalam perniagaan warisan budaya di China, di New York University Shanghai.



Di Chikan, yang terletak di wilayah Guangdong, penduduknya mengatakan bahawa mereka telah diberikan pampasan antara 3,200-3,900 yuan (AS$472- AS$ 575) bagi setiap satu meter persegi, di mana ianya sangat tidak mencukupi untuk membeli sebuah apartmen kecil di kawasan itu.
Kos purata rumah baharu di ibu kota wilayah Guangzhou yang berdekatan pada tahun 2017 ialah 20,000 yuan bagi satu meter persegi. Wu berkata beliau dan beberapa jirannya yang mengadakan protes pada musim luruh lepas telah ditangkap dan dipenjara selama beberapa hari.
Pada masa yang sama, penduduk tempatan berusia 60 tahun, Lou Kong Ho berkata, orang yang tidak dikenali telah memecah masuk rumah nenek moyang keluarga mereka yang telah diubahsuai, merampas barangan antik yang begitu bernilai.
“Untuk keluar dan meninggalkan rumah ini, bermakna ia telah memutuskan ikatan hubungan keluarga kami,” kata Lou.
Merujuk kepada saudara-maranya yang berada di luar negara, yang juga turut membantu membiayai pengubahsuaian rumah tersebut, beliau menambah: “Apa gunanya jika mereka kembali pulang? Kesemua ini tidak lagi menjadi milik kita lagi.”
Sekiranya penduduk menolak tawaran itu, masalah itu akan ‘dimasukkan dalam proses kehakiman’ dan pemilik hartanah itu akan kehilangan pampasan, menurut satu kenyataan di laman web kerajaan bandar raya Kaiping. Pegawai-pegawai tempatan tidak memberikan sebarang respons kepada AFP.
Paulinda Poon, seorang atendan penerbangan Amerika yang dibesarkan di Chikan, adalah antara bekas penduduk luar negara yang sering pulang ke sana. Pada tahun 2016, dia pergi ke Beijing untuk menyampaikan surat kepada Kementerian Luar Negara tentang situasi Chikan yang dianggap ‘tidak begitu adil.’ Pegawai di sana memberitahu bahawa ia adalah isu-isu tempatan.
Poon telah melawat Chikan sekali lagi dan terkejut dengan bagaimana ia menyerupai ‘bandar hantu’ berbanding kunjungannya pada tahun lepas.
Beliau menemui sekumpulan penduduk di tepi sungai, dia bertanya sama ada mereka telah berunding dengan peguam, dan salah seorang lelaki menjawab: “Siapa yang akan membantu kami?” – AFP