Friday, November 8, 2024
28.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembuat colok tradisional tidak menang tangan sempena perayaan Tahun Baharu Cina

    BUKIT MERTAJAM – Sempena sambutan Tahun Baharu Cina, permintaan terhadap colok tradisional semakin meningkat sehingga membuatkan Ong Chin Chye, tidak menang tangan.

    Ong, 63, berkata dia banyak menerima tempahan menerusi panggilan telefon dan ada juga pelanggan yang datang secara fizikal ke kilang dan setakat ini tempahan diterimanya sudah mencecah lebih 2,000 batang colok.

    “Pada musim perayaan ini, setiap hari kita telah menghantar kira-kira tiga lori mengandungi 70 batang colok pelbagai saiz dalam setiap lori,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kilangnya di Kubang Semang dekat sini, baru-baru ini.

    Katanya, dia mula membuat colok tradisional itu seawal 8 pagi hingga 6:30 petang bagi menyiapkan tempahan yang diterima dari Perak, Kelantan, Sarawak, Sabah dan Thailand.

    Ong berkata tempahan untuk produk keluarannya meningkat lebih-lebih lagi dengan kedatangan tahun baharu dengan jualan meningkat kira-kira 10 peratus berbanding bulan lain.

    Pemilik kilang colok tradisional, Ong Chin Chye sibuk menyiapkan colok tradisional yang ditempah pelanggannya. – Bernama
    Pembuat kayu colok tradisional sibuk menyiapkan tempahan. – Bernama

    “Semuanya bermula apabila datuk saya Ong Ah Kaw, yang membina kilang ini 62 tahun lalu.

    “Saya mengambil alih perniagaan ini ketika berusia 22 tahun.

    “Secara perlahan-lahan saya mula mengembangkan kemahiran membuat colok tradisional dan kini menggaji seramai kira-kira 12 pekerja,” tambahnya lagi.

    Menurut Ong, dia memutuskan untuk mengekalkan kaedah tradisional membuat colok kerana kebanyakan pelanggannya lebih menggemari colok buatan tangan berbanding buatan mesin, sekali gus membolehkan perniagaannya bertahan sehingga kini.

    Mengulas lanjut, beliau berkata mereka pernah menggunakan habuk kayu untuk membuat colok menggunakan tangan sebelum ia diukir dan dicat.

    Ong yang belajar membuat colok daripada neneknya ketika berusia 14 tahun berkata dia menjual kira-kira 50 jenis rekaan colok yang berharga antara RM18 hingga RM600.

    “Proses penghasilan colok yang paling mencabar ialah melukis gambar naga pada lapisan luar terutama bentuk tiga dimensi yang kini semakin menjadi pilihan ramai.

    “Saya gembira dapat mengekalkan perniagaan tradisional ini,” tambahnya. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda