Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembuat kiswah Mesir nekad kekalkan tradisi

    KAHERAH – Di bawah kipas siling yang berputar, kelihataan Ahmed Othman menganyam benang emas pada kain hitam untuk mencipta ayat Al-Quran, yang merupakan tugas datuknya seabad yang lalu untuk menghiasi Kaabah di Masjidil Haram.

    Upacara penggantungan kiswah, kain sutera hitam besar yang disulam dengan corak emas, di atas Kaabah yang menjadi bahagian tengah Masjidil Haram melambangkan bermulanya musim haji pada minggu ini.

    Keluarga Othman pernah diberi penghormatan dalam tugasan menghasilkan kiswah. Ciptaan keluarganya akan dihantar dengan kafilah unta ke tapak paling suci dalam Islam di barat Arab Saudi yang menjadi kiblat bagi umat Islam di seluruh dunia.

    Kini, Othman mengekalkan tradisi itu di sebuah bengkel kecil, terletak di atas labirin bazar Khan al-Khalili di tengah Kaherah, di mana cenderahati yang dihasilkan secara besar-besaran memenuhi lorong-lorong.

    Kawasan ini dari segi sejarah adalah rumah kepada kraftangan tradisional Mesir, tetapi tukang menghadapi cabaran yang semakin meningkat.

    Penyulam Mesir Ahmed Othman el-Kassabgy, yang keluarganya bertanggungjawab secara tradisinya pernah diberi penghormatan dengan tugas menghasilkan Kiswah, kain yang digunakan untuk menutup Kaabah di Masjidil Haram. – AFP
    Benang emas disulam pada ayat di replika Kiswah. – AFP

    Bahan, kebanyakannya diimport, telah menjadi mahal, terutamanya apabila Mesir menghadapi masalah ekonomi dan mata wang yang menurun nilainya. Kuasa beli yang merosot menjadikan barangan buatan tangan berkualiti tinggi tidak dapat dibeli oleh rata-rata rakyat Mesir, manakala tukang yang mahir sukar untuk menurunkan kemahiran mereka apabila golongan muda beralih kepada pekerjaan yang lebih menguntungkan.

    Ini tidak akan berlaku “jika ada ganjaran wang yang baik dalam kraf,” Othman mengeluh, sambil membongkok di atas salah satu daripada banyak permaidani yang memenuhi bengkelnya.

    Lembaran kain felt hitam dan coklat diliputi dengan surah-surah dan doa-doa, disulam halus dengan benang perak dan emas. Setiap jahitan menggemakan ‘ayat suci’ yang diamanahkan oleh datuk Othman pada tahun 1924. Selama setahun penuh, 10 tukang akan mengerjakan kiswah yang menutupi Kaabah, menggunakan benang perak dalam pekerjaannya yang panjang.

    Disimbah air mawar

    Dari abad ke-13, tukang-tukang Mesir membuat kain gergasi dalam beberapa bahagian, yang diangkut oleh pihak berkuasa ke Mekah dalam upacara yang besar.

    Perayaan akan menandakan perarakan melalui bandar, diapit oleh pengawal dan pendeta ketika orang Mesir memercikkan air mawar dari balkoni. Datuk Othman, Othman Abdelhamid, adalah orang terakhir yang menyelia kiswah buatan Mesir sepenuhnya pada tahun 1926. Dari tahun 1927, pembuatan mula berpindah ke Mekah apabila kerajaan Arab Saudi mengambil alih sepenuhnya pengeluaran kiswah pada tahun 1962.

    Keluarga itu terus menyulam pakaian tentera untuk pembesar Mesir dan asing, termasuk bekas presiden Gamal Abdel Nasser dan Anwar Sadat.

    “Selain kerja kami dengan sulaman pangkat tentera, ayah saya mula menyulam ayat Al-Quran pada permaidani, kemudian menghasilkan semula keseluruhan bahagian kiswah,” jelas Othman.

    Pelanggan mula membanjiri untuk mendapatkan ‘replika tepat kiswah, hingga butiran terakhir’. Walaupun hari ini mereka menawarkan tablo kecil dengan harga serendah 100 paun Mesir (kira-kira AS$5), tempahan besar-besaran bersesuaian berharga beberapa ribu dolar, seperti replika pintu Kaabah, yang dengan bangganya Othman dakwa tidak dapat dibezakan daripada yang asal di Mekah.

    Mengalami kegawatan ekonomi

    Tetapi keluarga itu tidak terlepas daripada kegawatan ekonomi yang bermula dengan wabak koronavirus, yang memusnahkan perniagaan kecil dan pertukangan di Mesir.

    Sejak awal 2020, mereka telah menjual sekitar ‘dua helai sebulan’, sedangkan sebelum ini mereka akan menjual sekurang-kurangnya satu permaidani sehari.

    Othman bimbang perasaan ‘berjimat cermat di seluruh dunia’ menyebabkan perniagaan tidak mungkin bangkit semula. Hari ini, mungkin hanya terdapat sekumpulan atau lebih tukang yang kerjanya dia anggap tulen, dengan ramai tukang meninggalkan kraf tersebut untuk mendapatkan aliran tunai yang lebih cepat.

    “Mereka boleh membuat 200 hingga 300 paun sehari, (AS$10-AS$16) memandu beca bermotor tuktuk, atau bas mini, kata Othman. “Mereka tidak akan duduk di atas alat tenun menyakitkan punggung mereka sepanjang hari.”

    Namun, satu setengah abad selepas datuknya meninggalkan negara asalnya Turkiye dan membawa kraf itu bersamanya ke Mesir, Othman berkata dia tetap setia kepada teknik yang dipelajari semasa kecil ketika berhenti sekolah untuk melihat bapanya bekerja.

    “Terpulang kepada kami untuk menegakkan cara kraf yang sama kami mempelajarinya, jadi ia sah dengan warisan yang kami warisi,” katanya. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda