Oleh Rafidah Jumat
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Ogos – Seorang lelaki warga Indonesia yang didapati mencuri di tempat kerjanya, dijatuhi hukuman empat bulan penjara oleh Mahkamah Majistret.
Nur Hadi, 28, mengaku bersalah mencuri wang dalam anggaran $357 dari cawangan kedai makanan di Kuala Belait antara Julai dan Ogos 2017.
Tertuduh yang bekerja sebagai pembuat roti sejak Januari 2017 turut diamanahkan untuk menerima pembayaran daripada pelanggan dan merekodkan transaksi. Tertuduh bagaimanapun mengambil peluang itu dengan mengambil wang bayaran pelanggan tanpa pengetahuan majikannya.
Perbuatan tertuduh mengambil wang bayaran makanan daripada pelanggan, disedari oleh penyelianya yang memeriksa rakaman CCTV, yang mana rakaman mendedahkan tertuduh tidak memasukkan wang bayaran tersebut ke dalam kaunter wang tunai, sebaliknya memasukkannya ke dalam poketnya.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Mohammad Danial bin DSP Haji Kifrawi.