PARIS – Cef pastri, Arnaud Delmontel menggulung doh untuk croissant dan pains au chocolat yang kemudian muncul warna ke-emasan dan bau wangi keluar dari ketuhar di kedai pastrinya di Paris.
Harga mentega yang sangat penting untuk pastri tersebut telah meningkat dengan ketara dalam beberapa bulan kebelakangan ini, meningkat sebanyak 25 peratus sejak September, kata Delmontel. Namun, beliau enggan mengikuti beberapa pesaing yang telah mula membuat croissant mereka dengan margarin.
“Ia merupakan penyimpangan daripada apa itu croissant,” kata Delmontel. “Croissant dibuat menggunakan mentega.”
Salah satu kesenangan kecil dalam hidup iaitu mentega yang disapu pada roti yang masih panas atau memberikan rasa pada kek dan daging yang dipanggang telah menjadi lebih mahal di seluruh Eropah dalam setahun yang lalu.
Setelah inflasi pasca-pandemik yang semakin buruk disebabkan oleh perang di Ukraine, kenaikan harga mentega menjadi satu lagi pukulan kepada pengguna yang perlu membakar juadah perayaan.
Di seluruh Kesatuan Eropah yang terdiri daripada 27 negara anggota, harga mentega meningkat sebanyak 19 peratus secara purata dari Oktober 2023 hingga Oktober 2024, termasuk peningkatan sebanyak 49 peratus di Slovakia, dan 40 peratus di Jerman dan Republik Czech, menurut angka yang diberikan kepada The Associated Press oleh badan eksekutif EU. Laporan dari negara-negara individu menunjukkan bahawa kosnya terus meningkat dalam bulan-bulan selepas itu.
Di Jerman, sekeping mentega seberat 250 gram (8.8 auns) kini biasanya berharga antara 2.40 hingga 4 euro ($2.49-$4.15), bergantung pada jenama dan kualiti.
Peningkatan ini adalah akibat daripada kekurangan susu global yang disebabkan oleh penurunan pengeluaran, termasuk di Amerika Syarikat (AS) dan New Zealand, salah satu pengeskport mentega terbesar di dunia, menurut ahli ekonomi Mariusz Dziwulski, seorang penganalisis pasaran makanan dan pertanian di PKO Bank Polski di Warsaw.
Mentega Eropah biasanya mempunyai kandungan lemak yang lebih tinggi berbanding mentega yang dijual di AS.
Ia juga dijual mengikut berat dalam saiz standard, jadi pengeluar makanan tidak boleh menyembunyikan kenaikan harga dengan mengurangkan saiz pembungkusan, sesuatu yang dikenali sebagai shrinkflation.
Kekurangan mentega di Perancis pada abad ke-19 membawa kepada penemuan margarin, namun orang Perancis masih merupakan antara pengguna mentega terbesar di benua itu, menggunakan bahan tersebut dengan meluas dalam barangan bakar dan sos.
Mentega begitu penting di Poland sehingga kerajaan menyimpan stoknya dalam simpanan strategik negara, sama seperti gas negara dan vaksin COVID-19.
Kerajaan mengumumkan pada Selasa lalu bahawa ia akan melepaskan sekitar 1,000 tan mentega beku untuk menstabilkan harga.
Harga mentega meningkat 11.4 peratus antara awal November dan awal Disember di Poland, dan 49.2 peratus sepanjang tahun lalu kepada hampir 37 zloty Poland, atau $9 setiap kilogram (2.2 paun) untuk minggu yang berakhir pada 8 Disember, menurut Pusat Sokongan Nasional untuk Pertanian, sebuah agensi kerajaan.
“Setiap bulan harga mentega semakin mahal,” kata Danuta Osinska, seorang wanita Poland berusia 77 tahun, ketika membeli-belah baru-baru ini di sebuah rangkaian pasar raya diskaun di Warsaw.
Beliau dan suaminya sangat menggemarkan mentega pada roti, dalam telur dadar, dalam pencuci mulut berkrim. Tetapi mereka juga bergelut untuk membayar ubat-ubatan dengan pencen mereka yang kecil. Oleh itu, pasangan ini makan lebih sedikit mentega dan lebih banyak margarin, walaupun mereka mendapati rasanya kurang memuaskan.
“Tidak boleh dibandingkan,” kata Osinska. “Segala-galanya semakin sukar.”
Harga mentega di Poland telah menjadi isu politik. Dengan pilihan raya presiden yang dijadualkan pada tahun depan, penentang Perdana Menteri Donald Tusk cuba untuk menyalahkannya dan parti Platform Warga. Calon presiden parti tersebut berusaha untuk menyalahkan gabenor bank negara, yang berasal dari kem politik lawan, atas inflasi tersebut.
Sesetengah pengguna menentukan tempat membeli-belah berdasarkan harga mentega, yang telah membawa kepada perang harga antara rangkaian pasar raya yang, dalam beberapa kes, harga mentega dikekalkan pada paras yang terlalu rendah, yang merugikan petani tenusu, menurut Agnieszka Maliszewska, pengarah Dewan Susu Poland.
Maliszewska berpendapat bahawa isu domestik, EU dan global menerangkan inflasi harga mentega.
Beliau berpendapat penyebab utama merupakan kekurangan lemak susu akibat petani tenusu menutup perniagaan mereka di seluruh Eropah disebabkan oleh pasaran keuntungan yang rendah dan kerja keras. – AP