Saturday, May 10, 2025
27 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembuat tembikar Syria cekal untuk bertahan

    HOMS – Selepas sahaja konflik peperangan berlaku di bandar utara Aleppo, Syria, Zakaraia Qarkoush membawa tembikar-tembikarnya kemudian melarikan diri ke pusat kota Homs.

    Sebelum peperangan berlaku, terdapat 13 buah kilang tembikar di Aleppo. Namun berikutan peperangan yang berlaku, ia telah memusnahkan kilang-kilang tersebut dan penduduk pula berpindah.

    Qarkoush yang mewarisi teknik kraf tangan pembuatan tembikar dari ayahnya dan datuknya berusaha mencari tempat perlindungan baharu di Homs, di mana keadaan di kawasan ini adalah lebih selamat.

    Semangat yang berkobar-kobar untuk kraf tangan tersebut terus dikembangkan oleh Qarkoush malah ia merupakan sumber kehidupannya yang berkeinginan untuk terus melakukan apa yang dia suka. “Kami telah mewarisi pekerjaan ini daripada datuk dan saya telah melakukan pekerjaan ini selama 35 tahun,” katanya kepada media Xinhua.

    Selaku seorang tukang berusia 43 tahun, dia telah meninggalkan Aleppo bersama dengan anak-anaknya sejak tujuh tahun lalu dan menetap di kawasan Ashirah di mana anak-anaknya mula mempelajari dan membantu dalam penyediaan kerja-kerja tembikarnya itu.

    Lelaki itu mula membuat tembikar di sebuah bengkel tembikar yang kecil sebelum perniagaannya semakin berkembang dan maju. – Xinhua
    Qarkoush berkata bahawa dia sangat kagum dengan permintaan tinggi terhadap penggunaan tembikar di Homs. – Xinhua

    Antara tembikar yang dihasilkan oleh Qarkoush. – Xinhua

    Di Homs, dia mengambil masa selama dua tahun untuk merenungkan apa yang perlu dilakukan sebelum menyedari bahawa pekerjaan asalnya adalah satu-satunya perkara yang dia ingin mahu lakukan.

    “Apabila krisis meletus di Aleppo, kami terpaksa berpindah dan pergi ke Homs. Saya tidak mahu meninggalkan pekerjaan ini kerana saya sangat menyukainya. Justeru, saya terus bekerja di bengkel ini bersama dengan anak-anaknya di Homs,” jelasnya kepada media.

    Perniagaan yang berkembang

    Lelaki itu mula membuat tembikar di sebuah bengkel tembikar yang kecil sebelum perniagaannya semakin berkembang dan maju.

    Bengkel miliknya pada hari ini mempunyai ruang yang sederhana untuk membentuk tanah liat ke dalam pelbagai bentuk seperti kapal, bekas air dan banyak lagi serta dibeli oleh penduduk tempatan untuk diletakkan di salon kecantikan dan ruang tamu mereka sebagai perhiasan yang menarik.

    Semasa berada di bengkelnya itu, dia membawa tanah liat lembut dan meletakkanya di atas mesin kemudian menyentuhnya dengan lembut dari pelbagai sudut yang berbeza bagi membentuknya sebelum ia menjadi keras.

    Kemudian, dia meletakkannya di dalam ruang dapur yang terdapat ketuhar panas dan selepas itu, membawa tembikar itu ke bilik yang cerah untuk dikeringkan. Selepas itu, dia membawanya ke bilik yang lembab selama beberapa jam sebelum menjualnya kepada orang ramai.

    Qarkoush berkata bahawa dia sangat kagum dengan permintaan tinggi terhadap penggunaan tembikar di Homs, di mana satu-satunya kilang tembikar yang terdapat di bandar ini telah dimusnahkan semasa peperangan berlaku, sekali gus menjadikan dia satu-satunya tukang pembuat tembikar di Homs.

    “Terdapat imbal balik terhadap seni ini di Homs,” katanya kepada media Xinhua.

    Tukang itu berkata bahawa peperangan telah menjejaskan pembuatan tembikar di Syria dan hanya terdapat satu kilang tembikar di ibu negara Damsyik dan satu lagi di wilayah Latakia di barat laut Syria.

    Di Aleppo sahaja, sekurang-kurangnya 13 kilang tembikar berhenti beroperasi semasa peperangan berlaku, lelaki itu mengeluh.

    “Sekarang, saya bersendirian di Homs, di samping sebuah kilang di Damsyik dan Latakia. Peperangan telah banyak mempengaruhi pekerjaan kami kerana daripada 100 profesional dalam bidang ini, kini hanya terdapat 15 sahaja di seluruh Syria,” tambahnya kepada media.

    Lelaki Syria itu kini bekerja bersama dengan anak-anaknya yang telah diajarnya sepanjang tahun di Homs. Walau bagaimanapun, dia masih percaya bahawa selagi orang ramai menginginkan kraf tangan ini, kanak-kanak yang ingin belajar, semangat untuk belajar, kraf tangan itu pasti akan dapat bertahan, jelas Qarkoush. – Xinhua

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda