Saturday, May 10, 2025
26.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembuatan cip AI dorong krisis tenaga di Asia Timur

    TAIPEI – Permintaan yang semakin meningkat terhadap cip semikonduktor yang menjadi teras kecerdasan buatan (AI) telah mendorong lonjakan penggunaan tenaga elektrik, terutamanya di negara-negara yang masih bergantung kepada bahan api fosil sebagai sumber tenaga, menurut amaran kumpulan alam sekitar Greenpeace.

    Pengeluaran cip global tertumpu di Asia Timur, termasuk Taiwan, Korea Selatan dan Jepun, di mana sistem tenaga mereka masih bergantung kepada pembakaran bahan api fosil yang menghasilkan pelepasan gas rumah hijau penyumbang pemanasan global.

    Permintaan luar biasa terhadap cip berteknologi tinggi yang digunakan di pusat data AI yang memerlukan penggunaan tenaga yang besar telah menimbulkan kebimbangan mengenai kesan teknologi ini terhadap alam sekitar.

    Menurut Greenpeace, pembuatan cip AI menggunakan hampir 984 gigawatt-jam (GWh) tenaga elektrik pada tahun lalu, meningkat lebih 350 peratus berbanding tahun 2023.

    Pelepasan karbon daripada penjanaan tenaga tersebut juga meningkat lebih empat kali ganda, mencecah 453,600 metrik tan setara karbon dioksida pada tahun 2024, berbanding 99,200 metrik tan pada tahun sebelumnya.

    Gambar Freepik
    Gambar Freepik

    “Pembuatan cip sangat intensif dari segi penggunaan tenaga. Sebuah loji pengeluaran cip berskala besar boleh menggunakan sehingga 100 megawatt-jam elektrik setiap jam,” kata Greenpeace.

    Kumpulan itu turut memberi amaran bahawa permintaan tenaga elektrik global untuk pembuatan cip AI dijangka mencecah 37,238 GWh menjelang tahun 2030 – jumlah ini melebihi keseluruhan penggunaan tenaga elektrik semasa di Ireland.

    Greenpeace menegaskan bahawa syarikat-syarikat teknologi telah membelanjakan berbilion dolar dalam penyelidikan dan infrastruktur AI, namun pengambilan strategi bagi mencapai penggunaan 100 peratus tenaga boleh diperbaharui dalam rantaian bekalan masih terhad.

    Peningkatan permintaan terhadap cip dan peluasan kapasiti pengeluaran dijangka “secara tidak dapat dielakkan akan menyumbang kepada pertumbuhan jejak karbon,” kata laporan tersebut.

    “Syarikat-syarikat teknologi seperti Nvidia, Microsoft, Meta dan Google perlu menyokong pembekal mereka untuk meningkatkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui, dan harus menetapkan sasaran mencapai 100 peratus tenaga boleh diperbaharui dalam rantaian bekalan mereka menjelang tahun 2030,” kata Greenpeace lagi.

    Walaupun pengeluar cip seperti Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) telah memulakan peralihan ke arah tenaga boleh diperbaharui, Greenpeace menyifatkan kadar perubahan itu sebagai perlahan.

    TSMC dalam kenyataan kepada Bloomberg News menyatakan bahawa syarikat komited terhadap pengeluaran yang rendah karbon, dan menurut rekod dalaman, pelepasan karbon bagi setiap unit pengeluaran telah mencatatkan penurunan pada tahun 2024. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda