Tuesday, September 17, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembudayaan integriti lahirkan graduan berkualiti

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 OGOS – Dalam meraikan pencapaian, Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) hendaklah terus-menerus memperkukuh jati diri para graduannya di mana aspek etika, akhlak dan integriti adalah elemen yang menjadi asas kepada setiap bentuk program dan aktiviti di UNISSA.

    Bahkan pembudayaan integriti ini juga adalah mustahak diterapkan di institusi pengajian tinggi yang lain.

    Ia sangat penting untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja berkualiti dari segi pengetahuan tetapi juga memiliki sikap dan nilai-nilai murni yang diamalkan, sejajar dengan falsafah Melayu Islam Beraja yang menjadi pegangan dan amalan kita orang Brunei.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam selaku Canselor UNISSA menekankan perkara tersebut semasa berkenan mengurniakan titah sempena Majlis Hafl Al-Takharruj UNISSA ke-14 di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

    Terdahulu, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengucapkan tahniah kepada semua graduan yang telah berjaya menyempurnakan pengajian mereka masing-masing dan juga penghargaan kepada para ibu bapa, penjaga serta tenaga akademik dalam sama-sama memberikan sumbangan bermakna kepada kejayaan yang dicapai oleh para graduan.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Baginda Sultan turut menekankan bahawa UNISSA dalam usianya yang semakin matang telah meraih beberapa pencapaian yang membanggakan di arena global, dengan itu Baginda turut merakamkan tahniah atas peningkatan kedudukan UNISSA dalam World University Ranking for Innovation (WURI) yang diraih tahun ini.

    “Ini adalah pengiktirafan berharga daripada badan penilai antarabangsa dan Beta berharap ia akan menjadi pendorong untuk UNISSA sebagai peneraju dalam menyediakan kurikulum dan penyelidikan Islam yang berkualiti tinggi di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat global,” titah Baginda.

    Baginda turut menyatakan mengenai program undang-undang dan keperluannya kepada negara yang Baginda sentuh pada majlis Hafl Al-Takharruj yang lepas, serta adanya keperluan bagi penubuhan Fakulti Undang-undang secara berasingan agar fakulti itu dapat beroperasi dengan lebih teratur dan memberikan tumpuan secara khusus dalam merangka modul atau kursus undang-undang dengan lebih terancang dan berkualiti.

    “Dalam hal ini, Beta juga memperkenankan nama baharu fakulti ini sebagai Fakulti Undang-undang Sultan Haji Hassanal Bolkiah.

    “Beta amat berharap agar fakulti ini memainkan peranan yang signifikan dalam melahirkan para graduan undang-undang yang berkaliber yang diperlukan oleh negara,” titah Baginda.

    Baginda Sultan juga menekankan UNISSA sebagai sifatnya sebuah universiti Islam tulen, difahami mempunyai pengisian yang tradisional sebagai teras.

    Namun begitu, Baginda melihat pendekatan pengajaran boleh saja dipelbagaikan.

    Titah Baginda, pendekatan dalam pengajaran dan pembelajaran hendaklah tidak mengenepikan kemahiran abad ke-21.

    Cara pendekatan kemahiran perlu diteroka supaya setiap pelajar dapat menguasainya sebelum tamat tempoh pengajian.

    Ini penting sebagai bekalan untuk fasa kehidupan seterusnya.

    Baginda Sultan juga bertitah bahawa UNISSA turut memainkan peranan dalam memacu inovasi dan perjalanan ekonomi.

    “Dalam pada itu pihak universiti, beserta pemegang dasar dan juga pakar ekonomi, selayaknya sama-sama berusaha untuk melakar strategi yang lebih berkesan dalam memperkembangkan sektor dan industri baharu bagi menyantuni kelayakan para graduan.

    “Perancangan perlu dirangka oleh pihak yang berkepentingan bagi memaksimumkan sumber tenaga manusia yang berkelayakan ke arah menyumbang kepada kemajuan negara secara efektif,” titah Baginda.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda