Khamis, November 20, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembukaan ASG14 rai hampir 1,000 atlet

    Oleh Sim Y. H. – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 NOV – Seramai 981 atlet pelajar daripada 10 buah negara ASEAN bakal beraksi dalam lapan acara sukan yang dipertandingkan semasa Sukan Sekolah-sekolah ASEAN ke-14 (ASG-14), 2025.

    Sehubungan dengan itu, Jabatan Pendidikan Kokurikulum, Kementerian Pendidikan mengadakan Majlis Pembukaan Rasmi ASG14 yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat dan menyempurnakan perasmian ASG-14 ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh selaku Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif ASG ke-14.

    Majlis dimulakan dengan perbarisan lalu kontinjen dan pegawai-pegawai teknikal.

    Antara yang menyertai perbarisan lalu ialah anakanda Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah iaitu Yang Teramat Mulia Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah yang akan turut serta dalam sukan olahraga.

    Seterusnya, majlis diikuti dengan nyanyian lagu kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Allah Peliharakan Sultan.

    YTM Pengiran Anak Muneerah Madhul Bolkiah akan turut serta dalam sukan olahraga. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Atlet pelajar Brunei bersama atlet dari 10 negara ASEAN berkumpul semasa Majlis Pembukaan Rasmi ASG14 di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah menyaksikan acara pembukaan rasmi ASG14 yang berlangsung di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negara Hassanal Bolkiah. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI
    Antara persembahan semasa Majlis Pembukaan Rasmi ASG14. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Majlis diteruskan dengan ucapan daripada Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad, selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Kerja ASG ke-14 dan seterusnya ucapan daripada Timbalan Menteri Pendidikan dan Sukan, Republik Demokratik Rakyat Laos, Kingmano Phommahaxay selaku Presiden Majlis Sukan Sekolah-sekolah ASEAN (ASSC).

    Majlis seterusnya disusuli dengan Pengisytiharan Pembukaan ASG ke-14 yang dirasmikan oleh Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah, diikuti dengan Upacara Menaikkan Bendera ASG.

    Semasa majlis itu, Yang Berhormat Datin turut diperkenalkan kepada ketua-ketua kontinjen.

    Majlis diteruskan dengan Ikrar ASG ke-14 yang dipimpin oleh atlet-pelajar sukan olahraga, Awang Abdullah Abbas bin Awang Abdullah, selaku wakil atlet-pelajar dan Timbalan Pengetua (Sukan) Sekolah Sukan, Haji Mohd Azrin bin Haji Aji selaku wakil pegawai teknikal.

    Majlis diakhiri dengan tiga segmen persembahan dengan Segmen 1 iaitu Tarian Citra Gemilang, Tarian Aduk-Aduk serta Lagu Medley ASEAN, Segmen 2 iaitu Persembahan Gerak Cergas yang bertemakan Semangat Juara ASEAN, di mana kedua-dua segmen persembahan merupakan gabungan pelajar dari sekolah-sekolah menengah dan rendah kerajaan serta swasta di Negara Brunei Darussalam.

    Segmen 3 iaitu Persembahan Penutup Kemuncak mengetengahkan nyanyian lagu rasmi ASG14 yang dinyanyikan oleh pelajar dari Kolej Perdagangan Laksamana (LCB).

    ASG14 tahun ini mempertandingkan sukan badminton, bola keranjang, bola jaring, olahraga, sepak takraw, renang, pencak silat dan wusyu.

    ASG14 yang membawa tema Dream, Strive, Achieve diadaptasi daripada perambahan Brunei, Bekarih, Bejarih, Belurih, di mana moto berkenaan mengajak para atlet-pelajar untuk mencapai impian melalui usaha yang tekun dan berdisiplin serta semangat juang dan kerja keras.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda