Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Majlis Bertadarus Malam-malam Bulan Ramadan
bagi Tahun 1445 Hijrah / 2024 Masihi bermula dengan majlis pembukaan di Surau, Istana Nurul Iman, di sini, malam tadi.
Hadir pada majlis itu ialah Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.
Acara dimulakan dengan sembahyang Fardu Isyak dan Sunat Tarawih berjemaah, diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa bin Haji Murat.
Kemudian, majlis disusuli dengan bacaan tadarus Al-Quran bermula dari Surah Al-Baqarah.
Manakala itu, Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustafa.
Turut hadir pada majlis itu ialah pegawai dan kakitangan dari ABDB, Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB), Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), Jabatan Penjara, Jabatan Kastam dan Eksais Diraja (JKED), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) dan Jabatan Pengajian Islam (JPI).