BEIJING, 30 Mac – Seorang pembunuh bersiri yang digelar ‘Jack the Ripper’ China kerana cara dia mencacatkan 11 mangsa wanitanya telah dijatuhkan hukuman mati hari ini, tiga dekad selepas pembunuhan pertama yang dilakukannya.
Gao Chengyong, 53, merompak, memperkosa dan akhirnya membunuh 11 mangsanya lebih daripada sedekad yang lalu, menurut pendakwa raya dari Bandar Baiyin di wilayah barat laut Gansu.
Dia didapati bersalah oleh Mahkamah Rakyat Sederhana Bandar Baiyin dan menjatuhkan hukuman mati atas kedua-dua jenayah rompak dan pembunuhan dengan niat dan hukuman yang lebih ringan atas jenayah rogolnya dan menganiaya mayat mangsa.
Menurut laporan media tempatan, Gao menyasarkan wanita muda yang memakai pakaian merah dan mengikuti mereka dari rumah mangsa, serta mengerat leher mangsa dan memotong tubuh mereka. Sementara itu, mangsanya yang paling muda adalah kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun.
Beberapa mangsa telah dibuang organ reproduksi mereka, menurut Beijing Youth Daily ketika Gao ditangkap pada tahun 2016.
Mahkamah mendapati Gao bersalah atas jenayah tersebut.
“Bagi memuaskan nafsunya yang tidak senonoh dan memusnahkan mayat, kebanyakan mayat mangsa perempuannya telah rosak dan dianiaya,” kata mahkamah dalam satu kenyataan di akaun media sosial rasmi mereka di Weibo.
“Motif kejahatan terdakwa adalah keji, kaedahnya sangat kejam, sifat perbuatan jahat dan butiran jenayah yang serius,” kata mahkamah.
Gao ‘menimbulkan ancaman serius kepada masyarakat dan ancaman bahaya kepada orang lain dan harus dihukum dengan berat’. – AFP