Thursday, July 17, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pembunuh pengembara Britain di Australia meninggal dunia

    LONDON, 16 JULAI – Lelaki yang membunuh pengembara warga Britain, Peter Falconio, disahkan meninggal dunia selepas dipindahkan ke unit penjagaan paliatif bulan lalu, lapor PA Media/dpa.

    Bradley John Murdoch disabitkan kesalahan pada 2005 kerana membunuh Falconio dan menyerang teman wanitanya, Joanne Lees, menggunakan senjata api di kawasan terpencil berhampiran Barrow Creek, Wilayah Utara Australia pada 14 Julai 2001.

    Falconio dan Lees, kedua-duanya dari Yorkshire, sedang mengembara merentasi Australia dengan van kembara apabila mereka diserang oleh Murdoch di Lebuh Raya Stuart, sebatang jalan terpencil yang merentasi tengah negara itu.

    Murdoch dihukum penjara seumur hidup tanpa parol sekurang-kurangnya selama 28 tahun.

    Menurut laporan media tempatan, Murdoch, 67, disahkan menghidap kanser tekak tahap akhir pada 2019 dan telah dipindahkan ke unit penjagaan paliatif dari Pusat Pemulihan Alice Springs bulan lalu.

    Jabatan Pemulihan Wilayah Utara mengesahkan bahawa Murdoch meninggal dunia di hospital.

    Gambar AFP

    Jurucakap jabatan itu berkata, “Saya mengesahkan bahawa Bradley Murdoch meninggal dunia malam tadi di unit penjagaan paliatif Hospital Alice Springs.”

    Falconio dan Lees ketika itu sedang memandu berhampiran kawasan terpencil Barrow Creek, di utara Alice Springs, apabila Murdoch menghampiri mereka dan mendakwa melihat percikan api keluar dari van mereka.

    Dia kemudian menembak Falconio di kepala ketika lelaki itu memeriksa kenderaan, sebelum memaksa Lees masuk ke kenderaannya dan mengikat tangan wanita itu dengan kabel plastik.

    Lees berjaya melarikan diri dan bersembunyi di kawasan pedalaman selama beberapa jam sebelum berjaya menahan sebuah lori yang lalu.

    Dalam perbicaraan, pihak pendakwaan berhujah bahawa Murdoch dipercayai telah melupuskan mayat Falconio di kawasan gurun terpencil yang luas antara Alice Springs dan Broome, meliputi jarak lebih 1,900 kilometer.

    Walaupun pencarian dilakukan berulang kali, mayat Falconio masih belum ditemukan. Lees, yang pulang ke United Kingdom, memberitahu program hal ehwal semasa Australia 60 Minutes pada 2017 bahawa beliau masih berharap untuk ‘membawanya pulang’. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda