Pembunuh wartawan dipenjara 50 tahun

BANDAR MEXICO, 23 OGOS – Seorang lelaki dihukum penjara 50 tahun kerana didapati bersalah mengarahkan pembunuhan wartawan wanita terkenal Mexico, Miroslava Breach pada 2017.

Mahkamah menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Juan Carlos Moreno, yang turut dikenali sebagai ‘El Larry’.

Hukuman itu dimaklumkan menerusi pihak timbalan pendakwa raya semalam.

Badan pemerhati kewartawanan, Reporters Without Borders, menyifatkan Mexico antara negara yang paling berbahaya untuk wartawan.

Breach yang membuat liputan mengenai perang antara kartel dadah negara itu menjadi antara 11 wartawan yang dibunuh pada 2017.

Breach, wartawan kanan jenayah dan politik untuk akhbar La Jornada dan Norte de Juarez ditemui mati di dalam keretanya dengan kesan tembakan di kepala, di Chihuahua, pada 2017.

Antara artikel terakhir ditulisnya ialah persaingan antara dua ketua kartel dadah di Juarez.

Pihak pendakwa raya mendakwa pembunuhan itu sudah dirancang kerana mangsa menerima banyak nota ugutan sebelum ditemui mati.

Ramon Zavala, individu yang dikehendaki kerana membunuh Breach, dibunuh individu tidak dikenali pada 2017. – AFP