MANILA, 2013 – Seorang pemandu jentolak pengorek kaut telah menggambarkan butiran mengerikan bagaimana dia menggunakan mesin pengorek untuk mengebumikan 58 mangsa pembunuhan politik paling dahsyat di Filipina, menurut satu salinan keterangan sumpah yang diperolehi oleh AFP.
Beberapa minit selepas penembakan November 2009, Bong Andal berkata dia menggali dua lubang di kedua-dua belah jalan kampung, satu untuk membuang mayat-mayat mangsa dan satu lagi untuk menanam kenderaan-kenderaan mereka.
Dia berkata majikannya, bapa puak Andal Ampatuan Senior, telah mengarahkannya untuk membawa mesin pengorek itu ke tapak berkenaan. Di sana, dia melihat anak lelaki ketua puak itu yang mempunyai nama sama, Andal Ampatuan Junior, bersama sejumlah lelaki bersenjata lain.
“Saya terkejut melihat terlalu banyak mayat, wanita dan lelaki, semuanya bermandikan darah. Mangsa bergelimpangan di sepanjang tepi jalan raya,” pemandu itu berkata dalam kenyataan tidak bertarikh itu, ditulis dalam bahasa Filipina.
“Pada masa itulah Datu Unsay mengarahkan saya, ‘tanam mereka semua, termasuk kereta-kereta mereka,” tambahnya. “Datu Unsay” adalah nama singkatan Ampatuan Junior.
Puak itu dipercayai mengarahkan pembunuhan untuk menghalang pesaing politik, Esmael Mangudadatu, daripada bertanding menentang salah seorang anggotanya bagi jawatan gabenor Maguindanao, sebuah wilayah petani yang miskin di selatan.
Bapa Ampatuan, dua anak lelaki dan beberapa anggota keluarga ditahan dan dibicarakan bagi pembunuhan 58 mangsa, termasuk 32 wartawan yang membuat liputan bagi persaingan politik itu.
Pemandu pengorek kaut itu diberkas November 2012 selepas tiga tahun pemburuan. Lebih daripada 90 suspek lain bebas.
“Mula-mula saya menggunakan pengorek kaut untuk menolak kenderaan-kenderaan ke dalam lubang. Kemudian saya meratakannya dengan lengan metal jentolak,” pemandu itu berkata.
“Sebilangan kenderaan mengandungi mayat di dalamnya, jadi saya hanya menutup mata saya kerana ketakutan dan meneruskannya.”
Selepas menggali lubang kedua, pemandu itu berkata dia menggunakan lengan jentolak tersebut untuk menarik mayat-mayat ke dalam lubang.
“Selepas beberapa jam, saya masih belum mengebumikan semua mangsa dan kenderaan mereka. Kemudian kami mendengar sebuah helikopter datang dan semua lelaki bersenjata yang mengawal saya melarikan diri.”
Pemandu itu berkata dia juga melarikan diri, membawa keluarganya dari kediamannya, dan menghabiskan masa beberapa tahun dalam persembunyian.
Pemandu itu telah memberi kenyataan tersebut kepada jabatan kehakiman dalam usaha untuk dimasukkan sebagai saksi kerajaan, pegawai memberitahu AFP dengan syarat namanya tidak didedahkan.