Saturday, February 15, 2025
32.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemburu haram badak sumbu Jawa dihukum penjara

    JAKARTA, 14 FEB – Mahkamah Indonesia telah menjatuhkan hukuman penjara yang panjang kepada pemburu haram yang membunuh berpuluh-puluh badak sumbu Jawa, menurut keputusan mahkamah yang dilihat AFP hari ini.

    Badak sumbu endemik di pulau terpadat di Indonesia itu amat terancam, dengan pihak berkuasa percaya hanya ada sekitar 82 yang tinggal di Taman Negara Ujung Kulon di Jawa barat – kubu kuat terakhirnya.

    Pada 2023 pihak berkuasa menemui kumpulan penjenayah yang mengaku membunuh 26 ekor badak sumbu dalam tempoh lima tahun di taman seluas 120,000 hektar itu.

    Mahkamah di wilayah Banten, Indonesia minggu ini menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada dalang kumpulan itu dan lima orang yang bersubahat selama 11 tahun, menurut keputusan yang disiarkan di laman webnya.

    Kesemuanya didenda 100 juta rupiah (AS$6,135) setiap seorang, yang akan digantikan dengan tiga bulan tambahan penjara jika tidak dibayar, kata keputusan yang dikeluarkan Rabu lalu.

    “Ia menjadi keutamaan dan menyampaikan amaran jelas kepada mereka yang akan mengancam hidupan liar Indonesia,” kata Pengarah Eksekutif Yayasan Badak Antarabangsa, Nina Fascione, dalam satu kenyataan hari ini.

    “Keadilan yang konsisten dalam kes seperti ini adalah penting untuk memastikan badak sumbu selamat daripada pemburuan haram pada masa hadapan,” tambahnya.

    Wakil kolektif alam sekitar yang berpangkalan di kampung sekitar taman negara, Irfan Suryana, mengalu-alukan hukuman itu tetapi berkata lebih banyak usaha perlu dilakukan untuk mencegah pemburuan haram.

    “Bagi kebanyakan pemburu haram, tindakan sedemikian sering didorong oleh cabaran ekonomi. Tanggungjawab kami bukan sahaja untuk melarang tindakan itu tetapi juga untuk memberi pendidikan dan meningkatkan kesedaran,” katanya. – AFP

    Gambar bertarikh 11 Jun 2024 menunjukkan para pemburu haram semasa sidang media di ibu pejabat polis di Banten. – AFP

     

     

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda