PARIS, 18 DIS – Satelit pemburu planet Eropah, CHEOPS meninggalkan bumi hari ini sehari selepas pelancarannya terpaksa ditangguhkan akibat gangguan teknikal pada roket semasa kiraan terakhir.
Teleskop berukuran 30 sentimeter itu direka untuk mengukur ketumpatan, komposisi dan saiz beberapa planet di luar sistem suria yang digelar sebagai exoplanet.
Menurut Agensi Angkasa Eropah (ESA), CHEOPS akan memerhatikan bintang terang yang sudah pun diketahui dikelilingi oleh planet-planet.
Menurut penerima Hadiah Nobel Fizik 2019, Didier Queloz, misi tersebut merupakan langkah ke arah memahami astrofizik kesemua planet aneh yang pernah ditemukan dan tidak setara dengan sistem suria.
Kira-kira 4,000 exoplanet telah ditemukan sejak Queloz dan rakan penyelidiknya, Michel Mayor mengenal pasti exoplanet pertama digelar ‘51 Pegasi b’ 24 tahun lalu.
Satelit itu berlepas pada jam 8:54 pagi (waktu tempatan) dari tapak pelancaran di Kourou, French Guiana, menurut siaran rakaman langsung oleh syarikat pelancaran Arianespace.
Ia adalah pelancaran kali ketiga tahun ini bagi roket Soyuz buatan Rusia. – AFP
