REYKJAVIK – Adakah ia paus biru atau tidak? Pemburuan dan pembunuhan ikan paus di Iceland, didakwa merupakan antara spesies yang terancam telah mencetuskan kemarahan dan menyebabkan para pakar berteka-teki mengenai identiti sebenar spesies tersebut.
“Belum ada catatan mengenai kehadiran paus biru oleh sesiapa pun semenjak 50 tahun yang lalu sehinggalah baru-baru ini, ia ditemui,” kata Persatuan Gerakan NGO Marin Antarabangsa, Sea Shepherd dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Kumpulan tersebut telah menerbitkan satu foto mamalia itu yang dipotong-potong isinya dan dieksport ke sebuah stesen ikan paus di Iceland pada malam 7 Julai yang lalu, kata seorang nelayan dan mendakwa foto itu memperlihatkan tanda-tanda seperti seekor ikan paus biru yang memang sangat jarang dilihat dan terancam.
Tetapi pakar Iceland tidak dapat memastikan sama ada foto itu memperlihatkan ia adalah seekor ikan paus biru, di mana Suruhanjaya Antarabangsa Ikan Paus telah meletakkan haiwan itu sebagai haiwan yang dilindungi semenjak tahun 1966.
Mereka juga tidak dapat memastikan sama ia juga seekor ikan paus bebola, paus kedua terbesar di dunia, di mana hanya sah diburu di Iceland walaupun terdapat moratorium atau tegahan daripada pihak antarabangsa terhadap pemburuan ikan paus.



Pengurus besar Hvalur Hf, Kristjan Loftsson, berkata bahawa stesen ikan paus itu mempercayai bahawa paus itu adalah paus bebola bukan paus biru.
Kebanyakan ikan paus bebola diburu dan dibunuh kemudian dagingnya dieksport ke Jepun. “Kami melihat paus biru sepanjang masa dan mengenal pastinya melalui hembusan pernafasannya serta meninggalkannya sendiri,” tambahnya kepada AFP.
Ujian DNA
Bagi Gisli Vikingsson, seorang saintis di Institut Penyelidikan Marin dan Air Segar di Reyjkavik berkata bahawa pembunuhan dan pemburuan ikan paus itu memperlihatkan ciri-ciri yang sama dengan ikan paus biru dan juga paus bebola.
“Ada dorsal besar dan dorsal kecil sirip seperti paus bebola, perkara ini menerangkan berkemungkinan kenapa ia diburu,” katanya kepada AFP, sambil menambah ukuran dan tanda memperlihatkan ia juga seperti seekor ikan paus biru.
Dia menambah bahawa paus itu boleh saja spesies hibrid daripada percampuran pembiakan antara paus bebola dan paus biru, di mana ia merupakan satu fenomena yang sangat jarang berlaku.
Semenjak tahun 1987, lima daripada haiwan itu telah diselidik di perairan Iceland dan haiwan ini diketahui sebagai tidak boleh membiak.
Semua paus yang dibunuh di Iceland akan menjalani proses ujian DNA selepas musim pemburuan paus dan keputusannya akan dikeluarkan semasa musim panas.
Tetapi, berikutan dengan kontroversi di sekitar kes tersebut, ujian akan dijalankan lebih awal daripada yang dirancang dan keputusannya akan dijangka dikeluarkan pada akhir bulan Julai ini.
Tetapi Sea Shepherd berkata bahawa para nelayan yang telah membunuh paus itu mengatakan bahawa paus itu ialah paus bebola dan mencampurkan daging-daging itu dengan daging ikan paus bebola yang sebelumnya, menyebabkan sangat sukar untuk mengenal pasti daging paus biru semasa proses pengenalpastian dilakukan oleh pihak berkuasa.
“Ini menunjukkan ketidak-tepatan dan pemburuan yang tidak sempurna serta tidak ada keperluan untuk menyambungnya kembali,” kata perwakilan Dana untuk Kesejahteraan Haiwan Antarabangsa, Sigursteinn Masson kepada AFP.
Jika paus yang dibunuh itu disahkan sebagai paus hibrid, maka ia akan lebih merumitkan keadaan kerana tidak ada undang-undang untuk melindungi ikan paus hibrid ini. “Paus hibrid malah lebih jarang ditemui berbanding ikan paus biru,” tambah Masson. – AFP