Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 JULAI – Berikutan dengan Pengemaskinian Dasar Caj Perkhidmatan Kesihatan yang dimulakan pada 1 Julai 2025, kos rawatan bagi pemegang kad pengenalan ungu (penduduk tetap yang mempunyai warganegara asing) dan bagi pasangan rakyat Negara Brunei Darussalam atau pasangan pemegang kad pengenalan ungu (stateless) yang mempunyai warganegara lain adalah untuk ditanggung sendiri.
Walau bagaimanapun, pembayaran kos rawatan adalah dikecualikan bagi pesakit-pesakit yang terdiri daripada pesakit yang sedang menerima rawatan di Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) dan hospital-hospital kerajaan sebelum 1 Julai 2025. Kos rawatan pesakit ini akan ditanggung sehingga mereka selesai membuat rawatan ataupun sehingga dibenarkan pulang; pesakit mental menurut Akta Kesihatan Mental, Penggal 257; dan pesakit yang menghidap penyakit yang berjangkit menurut Perintah Akta Penyakit Berjangkit (Pindaan), 2020.
Perkara berkenaan dikongsikan oleh Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar semasa Sidang Media Mengenai Dasar Keperluan Insurans Bagi Warganegara Asing dan Pengemaskinian Dasar Caj Perkhidmatan Kesihatan diadakan di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan, hari ini.
Seterusnya, Yang Berhormat Dato berkata bagi kes-kes yang tertentu seperti mereka yang menghadapi kesulitan untuk membuat pembayaran, Kementerian Kesihatan akan merujuk mereka ke Bahagian Pekerja Sosial Perubatan untuk penilaian bagi mendapatkan pertimbangan khas.
“Bagi mereka yang layak, Kementerian Kesihatan akan membantu mengikut kesesuaian sama ada dengan mendapatkan bantuan dari Tabung Amal Bantuan Pesakit, Kementerian Kesihatan; Majlis Ugama Islam Brunei; Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah atau dengan kaedah pembayaran secara ansuran,” jelasnya.

Yang Berhormat Dato juga mengongsikan untuk pengetahuan bersama bahawa sebelum ini kerajaan Negara Brunei Darussalam menggunakan peruntukan yang tinggi bagi membiayai kos rawatan yang diberikan dan ia meningkat dari setahun ke setahun.
“Anggaran jumlah kos rawatan bagi perbelanjaan kewangan tahun 2024/2025 bagi pemegang kad pengenalan ungu (penduduk tetap yang mempunyai warganegara asing) dan bagi pasangan rakyat Negara Brunei Darussalam (yang mempunyai warganegara lain) di fasiliti-fasiliti kerajaan dan PJSC hampir mencecah $70 juta secara keseluruhan, yang mana $28 Juta adalah dari PJSC dan selebihnya adalah dari fasiliti-fasiliti kerajaan,” ujarnya.
Pada lazimnya, di negara lain, jelas Yang Berhormat Dato, kos rawatan adalah ditanggung sendiri oleh penduduk tetap dan warga asing dan mereka ini dikehendaki untuk mematuhi sistem pembiayaan kesihatan negara masing-masing. Walhal, rakyat negara tersebut juga perlu menyumbang sendiri kepada kos rawatan mereka.
Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan menyarankan bagi mereka yang terkesan daripada pengemaskinian dasar caj perkhidmatan ini untuk mengambil insurans perlindungan kesihatan sebagai persediaan bagi melindungi diri dan keluarga masing-masing daripada bebanan kewangan dalam mendapatkan akses kepada rawatan perubatan, termasuk kos hospital, ubat-ubatan, dan rawatan pakar.
“Namun demikian, Kementerian Kesihatan akan sentiasa memastikan tiada sesiapa pun dinafikan untuk mendapatkan rawatan, terutama bagi kes-kes kecemasan dan memerlukan rawatan segera. Kementerian Kesihatan tetap komited dalam memberikan perkhidmatan rawatan dan penjagaan kesihatan yang selamat dan berkualiti kepada orang ramai mengikut piawaian antarabangsa,” tekan Yang Berhormat Dato.