Wednesday, July 16, 2025
28.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemenang Anugerah LiveWIRE diumumkan

    Oleh Syahmi Hassan

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 April – Anugerah Perniagaan LiveWIRE Brunei kali ke-11 2017-2018 telah menyaksikan sebanyak 33 calon dan para pemenang telah diumumkan pada majlis penyampaian anugerah yang diadakan di Dewan Persidangan Utama, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, hari ini.

    Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Timbalan Menteri Tenaga (Energy) dan Perindustrian, Dato Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw.

    Pertandingan telah dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori A di bawah Pelan Perniagaan yang dinilai berdasarkan daya maju dan kesempurnaan rancangan perniagaan, kemampuan inovatif, persembahan dan kemahiran ‘pitching’ mereka dan Kategori B di bawah Perniagaan Permulaan dan Pembangunan Perusahaan yang dinilai berdasarkan kekuatan model perniagaan mereka dan mempunyai potensi besar untuk perkembangan.

    Pilihan istimewa juga diberikan kepada perniagaan yang memberi tumpuan kepada industri yang akan menyumbang kepada kepentingan nasional negara.

    Bagi Kategori A0 (Menengah Bawah), tiada pemenang bagi tempat pertama namun The Samurai’s Phantom Fitness Centre iaitu gim peribadi yang menggunakan ‘obstacle course’ jenis ninja yang inovatif telah mendapat tempat kedua.

    Para pemenang ketika sesi bergambar ramai selepas majlis penyampaian anugerah yang diadakan di Dewan Persidangan Utama, ICC, Berakas, kelmarin.

    Tempat pertama Kategori A1 (Menengah Atas) pula dimenangi oleh Pasukan Eco Brunei Ltd bagi ‘Eco-Bn’ yang bertujuan untuk merevolusikan industri pengurusan sampah di Brunei.

    Kategori A2 (Pra-Universiti) dimenangi oleh Ar-Ridhwan Kaligraphy yang menjual dan membuat produk kaligrafi Jawi seperti gantungan kunci, penanda buku, bingkai, t-shirt, tudung dan dekorasi dinding.

    Bagi Kategori A3 (Tertiary, Institut Pendidikan Teknikal Brunei), Tebuan Prenuer dipilih sebagai pemenang bagi produk ais krim mereka yang melekit.

    Tiada pemenang tempat pertama bagi Kategori A4 (Institusi Tinggi), namun tempat kedua diberikan kepada A (+) Educator yang menyediakan tunjuk ajar peribadi ‘one-to-one’ terutamanya untuk penulisan penyelidikan dan perkhidmatan ‘proofread’ yang diutamakan kepada pelajar institusi pengajian tinggi.

    Kategori peserta program AB juga tidak mempunyai pemenang pertama, manakala itu, tempat kedua menjadi milik Reverse Osmosis Water @ Life Water yang memperkenalkan barisan pengeluaran baru melalui penggunaan jentera berkapasiti tinggi.

    Kategori B pula dibahagikan kepada dua kategori, di mana tempat pertama bagi Kategori B1 (minimum enam bulan hingga tiga tahun dalam perniagaan) diberikan kepada Hazeeyah Agro Farm dari Temburong yang menyediakan telur masin berkualiti tinggi.

    Manakala itu, Kategori B2 (lebih dari tiga tahun dalam perniagaan) tiada pemenang, namun hadiah sagu hati telah diberikan kepada TeachMe Guru yang merupakan platform bagi menghubungkan pelajar dan guru bagi tunjuk ajar di rumah.

    Sebagai tambahan bagi memberikan pengiktirafan kepada Kategori A dan B, Anugerah Teladan LiveWIRE Brunei juga telah dianugerahkan di majlis tersebut.

    Penerima bagi Anugerah Teladan itu ialah Mechatronic Technology Sdn Bhd bagi ‘The Most Sustainable Enterprising Company’; Al-Huffaz Management bagi ‘The Most Progressive Achiever’; Team One Environmental Technologies bagi ‘The Most Outstanding Enterprising Company’; Syarikat Muqtazza bagi ‘The Most Innovative Enterprise’; TeachMe Guru bagi ‘The Most Promising Young Entrepreneur’; dan Hazeeyah Agro Farm bagi ‘The Most Outstanding Award’.

    Bagi tahun 2017-2018, daripada 33 calon, 27 calon adalah di bawah Kategori A (Pelan Perniagaan) dan enam calon di bawah Kategori B (Perusahaan).

    Pertandingan kali ke-11 ini menawarkan hadiah berupa wang tunai yang keseluruhannya berjumlah $26,050.

    Antara mereka yang menyertai ialah penerima Program Tenaga LiveWIRE, Akademi Perniagaan Tenaga BSP dan Program ‘Let’s Go Trade’ Shell LiveWIRE Antarabangsa. Kesemua program tersebut menawarkan peluang untuk meneroka beberapa elemen inovasi melalui perdagangan antarabangsa.

    Penyertaan lain yang diterima adalah daripada sekolah menengah, tertiari, pendidikan tinggi dan graduan Program LiveWIRE.

    Barisan panel hakim terdiri daripada wakil pelbagai sektor termasuk audit dan kewangan, perbankan, kontrak dan perolehan, prestasi sosial, komunikasi serta kesihatan dan keselamatan.

    Pengarah Program LiveWIRE, Pengiran Redzuan bin Pengiran Haji Abbas semasa menyampaikan ucapan berkata, “Kami secara formal mengetengahkan mereka yang mempunyai kemajuan dan perkembangan luar biasa, dan dengan teliti memilih perusahaan yang telah mencapai tahap pencapaian tinggi dalam usaha keusahawanan mereka, dalam bidang kemahiran teknikal dan pengetahuan, serta gaya pengurusan dalam mencapai matlamat mereka.

    “Pengiktirafan istimewa ini juga dianugerahkan atas nilai dan standard idea tinggi yang boleh dipinjam (bankable) dan boleh dilaksanakan. Idea ini mungkin tidak semestinya memperoleh pelaburan modal yang tinggi, tetapi lebih kepada potensi besar untuk dikembangkan dan menyokong status keusahawanan,” tambahnya.

    Bagi menandakan acara pada tahun ini, BSP melalui LiveWIRE Brunei dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) juga telah melancarkan inisiatif baru dinamakan Skim Pembiayaan Permulaan Anugerah Perniagaan (BASFS) untuk menyokong usaha berterusan negara dalam mempelbagaikan penyertaan ekonomi yang aktif untuk pembangunan pesat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Negara Brunei Darussalam.

    BASFS adalah khusus bagi orang Brunei yang mengambil bahagian dalam Anugerah Perniagaan LiveWIRE Brunei.

    Para calon akan diberikan keupayaan dan potensi masa depan dalam perniagaan untuk Kategori A, dan kelestarian, tadbir urus yang baik dan potensi pertumbuhan bagi Kategori B.

    Majlis Anugerah Perniagaan yang terdiri daripada panel hakim di kalangan pegawai-pegawai BSP, BIBD dan LiveWIRE telah ditubuhkan untuk menubuhkan badan kuasa bagi pemilihan pemenang yang efektif kepada penerima BASFS.

    Dengan memperkenalkan anugerah khas tersebut, ia diharap akan terus memotivasikan para usahawan yang berinspirasi dan berbakat untuk maju ke hadapan dengan idea-idea cerah mereka dan menjadi contoh kepada orang lain.

    Program Anugerah Perniagaan LiveWIRE Brunei adalah sebahagian daripada program antarabangsa LiveWIRE yang berprestij dan penting di seluruh dunia dan dibiayai sepenuhnya oleh BSP sebagai pelaburan sosial perdananya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda