Oleh Ak Zaki Kasharan
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 OGOS – Para pemenang Anugerah Perniagaan LiveWire Brunei ke-12 telah menerima hadiah masing-masing pada majlis penganugerahan yang berlangsung di Dewan Hua Ho Manggis Mall, hari ini.
Hadir menyampaikan anugerah kepada para penerima ialah Timbalan Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw selaku tetamu kehormat.
Turut hadir ialah Pengarah Urusan Syarikat Brunei Shell Sdn Bhd (BSP), Dr Ceri M. Powell.
Majlis menyaksikan pasukan Sekolah Menengah Pengiran Anak Puteri Hajah Masna mengungguli dua tempat teratas Kategori A0 – Menengah Bawah (Tahun 7, 8, 9) dengan pasukan ‘Resepi Nenek’ di tempat pertama dan Cinedine manakala itu, tempat ketiga dimenangi projek Geography Pop Up Book (GPUB) oleh pasukan dari Mahad Islam Brunei
Bagi Kategori A1 – Menengah Atas (Tahun 10, 11), tempat pertama dimenangi oleh Suisuroru dari Sekolah St Andrew dengan Bro Mini Shell Out dari Mahad Islam Brunei di tempat kedua dan Hygence FootFall Harvester dari Sekolah Menengah Berakas di tempat ketiga.

Kategori A2 – Pra Universiti (6 Atas dan Bawah) pula dijuarai oleh pasukan dari Maktab Sains Paduka Seri Begawan Sultan (Maktab Sains) dengan projek Stack City Hotel diikuti oleh dua pasukan dari Pusat Tingkatan Enam Meragang (PETM) iaitu Pboscis Co di tempat kedua dan Fazqri’s Cakery di tempat ketiga.
Bagi Kategori A3 – Tertiari (Institut Pendidikan Teknikal Brunei dan Pusat Pembangunan Belia), hadiah tertinggi yang dimenangi adalah tempat ketiga yang disandang oleh FlavaCo dari IBTE Kampus Agroteknologi dan Sains Gunaan.
Dalam Kategori A4 – Institusi Pengajian Tinggi, hadiah tertinggi yang dimenangi adalah tempat kedua yang disandang oleh Bakeology dari Kolej Pengajian Siswazah Antarabangsa dan hadiah ketiga dimenangi pasukan dari Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) bagi projek NFR (Never Forget Rakaat) Smart Solat Device.
Kategori B1, bagi peserta-peserta program LiveWire pula, menyaksikan tempat ketiga yang paling tinggi dimenangi, disandang oleh Pusat Bahasa Isyarat Hearmysignbn, manakala itu, Kategori B2 bagi Perniagaan Mapan LiveWire (lebih tiga tahun) menyaksikan Ameenfarm memenangi hadiah tertinggi di tempat kedua dengan tempat ketiga dimenangi oleh dua syarikat iaitu Mohamad Ali Agriculture Farm dan S&R Aquafarm.
Kemuncak majlis adalah penyampaian anugerah pengiktirafan kepada syarikat-syarikat cemerlang di bawah kategori Anugerah Contoh Brunei LiveWire yang mana, projek Stack City Hotel, juara kategori A2, menerima Anugerah The Most Outstanding.
Anugerah The Most Promising Young Entrepreneur pula diberikan kepada Good 4U Entreprise; The Most Sustainable Enterprising Company kepada AmeenFarm; The Most Outstanding Enterprising Company kepada RAB Global Green dan The Most Innovative Enterprise kepada S & R Aquafarm.
Pertandingan berkenaan mengiktiraf dan memberikan ganjaran atas kejayaan serta pencapaian yang diperolehi oleh para pengusaha muda tempatan.
Bagi 2019, sebanyak 56 penyertaan telah dicalonkan yang terdiri daripada 39 penyertaan di bawah Kategori A (Pelan Perniagaan) dan 17 penyertaan lagi di bawah Kategori B (Syarikat) yang melibatkan seramai 131 orang peserta secara keseluruhannya.
Penyertaan pada kali ini dilihat sungguh menggalakkan kerana meningkat sebanyak lebih 200 peratus bagi penyertaan institusi pengajian tinggi dan syarikat-syarikat baharu berbanding peningkatan pada 2017-2018.
Majlis penganugerahan pada tahun ini merangkumi hadiah wang tunai berjumlah $28,100.
Semasa ditemui pada majlis berkenaan, Pengurus Ladang Ameenfarm Agrotech and Trading, Haji Irwandy bin Haji Lois yang menerima Anugerah The Most Sustainable Enterprising Company melahirkan rasa syukur atas kejayaan yang diperolehinya pada kali ini yang menurutnya menjadi pendorong bagi dirinya dan keluarga untuk sama-sama memajukan dan lebih berusaha gigih untuk mendapat kejayaan di peringkat yang lebih tinggi lagi.
Dengan kemenangan itu, beliau bertekad dan berazam untuk memperbesarkan lagi usahanya dan ladangnya untuk eksport ke luar negara.