Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 NOV – Rumine Corporation muncul sebagai pemenang Kategori Syarikat Permulaan, EnEvo pula memenangi Kategori Terbuka dan PITCHR menjuarai Kategori Institusi Tinggi dalam Anugerah Perniagaan LiveWIRE Brunei 2021 pada Majlis Anugerah Perniagaan LiveWIRE Brunei ke-14, 2021, Pelancaran Platform Digital iCASHFLOW.bn dan Alumni Profiles E-Book yang berlangsung secara maya, hari ini.
Hadir menyaksikan pengumuman pemenang-pemenang bagi anugerah tersebut ialah Timbalan Menteri Kewangan dan Ekonomi (Ekonomi), Dato Seri Paduka Dr Haji Abdul Manaf bin Haji Metussin.
Turut hadir pada majlis anjuran Shell LiveWIRE Brunei ialah Pengarah Urusan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) dan Shell Country Chair di Brunei, Agnete Johnsgaard-Lewis.
Pada majlis berkenaan, Pengurus Nilai Dalam Negara BSP dan Pengerusi Shell LiveWIRE Brunei, Hajah Rosita binti Haji Hasan dalam kata alu-aluannya menyatakan bahawa Shell LiveWIRE Brunei telah mengenal pasti lima bidang utama tumpuan untuk anugerah berkenaan iaitu agriteknologi, peralihan tenaga, pengurusan sisa, pendigitalan dan pembuatan pintar di mana penyertaan syarikat-syarikat dalam lima bidang berkenaan adalah amat menggalakkan dalam dua tahun kebelakangan ini.
Majlis turut menyaksikan pelancaran platform digital iCASHFLOW.bn, bagi pengurusan aliran tunai untuk usahawan di Brunei di mana ciri utama aplikasi berkenaan adalah dashboard yang memberikan visualisasi dan susunan lebih baik bagi unjuran, perancangan dan laporan aliran tunai.

Ciri-ciri lain termasuk pengimbasan dan penyimpanan invois dan resit, yang kemudiannya dapat dikeluarkan untuk membuat laporan, penjejakan invois dan bagi menyediakan ringkasan serta laporan aliran tunai.
Aplikasi itu boleh digunakan oleh usahawan baharu dan juga perusahaan mikro dan kecil untuk membantu mereka menguruskan aliran tunai secara sistematik.
Pada majlis itu juga, Shell LiveWIRE Brunei menandakan mercu tanda utama baginya yang bermula pada 2001 dan meraikan ulang tahunnya ke-20 dengan melancarkan Alumni Profiles E-Book, yang dulu dikenali sebagai The Profiles.
Majlis diteruskan dengan pengumuman para pemenang bagi setiap kategori yang dipertandingkan dalam Anugerah Perniagaan Shell LiveWIRE Brunei 2021, yang menyaksikan sebanyak 35 pendaftaran dan 27 penyertaan diterima, merangkumi 17 penyertaan di bawah Kategori Syarikat Permulaan, empat penyertaan di bawah Kategori Terbuka dan lima penyertaan dari Kategori Institusi Tinggi.
Juara bagi setiap kategori membawa pulang hadiah wang tunai $5,000, tempat kedua menerima $3,500 dan tempat ketiga memenangi $1,500 di samping piala dan sijil.
Bagi Kategori Syarikat Permulaan, 10 buah penyertaan telah disenarai pendekkan dengan tempat kedua dimenangi oleh Mindtrex Academy dan One Media di tempat ketiga.
Bagi Kategori Terbuka, tiga penyertaan telah disenarai pendekkan dengan tempat kedua disandang oleh ONZ Group dan Syarikat Kayu Manis Babu di tempat ketiga.
Manakala itu, di bawah Kategori Institusi Tinggi, lima penyertaan telah disenarai pendekkan dengan Fresh Pumpkin memenangi tempat kedua dan RecOil di tempat ketiga.
Anugerah Perniagaan Shell LiveWIRE Brunei dihasratkan untuk memberikan penghormatan dan memberikan ganjaran kepada usahawan-usahawan muda cemerlang di negara ini yang mampu mencadangkan rancangan perniagaan yang berkualiti tinggi dan menjalankan perniagaan yang berjaya.