Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Pemenang Anugerah Perniagaan LiveWIRE Brunei diumum

    Oleh Yusrin Junaidi –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Fatih Aquaculture dan Wastefyx masing-masing diumumkan sebagai pemenang Kategori Terbuka dan Kategori Institusi Tinggi dalam Majlis Anugerah Perniagaan LiveWIRE Brunei ke-16 yang berlangsung di Serambi Suluh, Tarindak D’Seni, di sini, hari ini.

    Selaku juara Kategori Terbuka, Fatih Aquaculture membawa pulang wang tunai $10,000 sementara itu, Track and Roll dan Happy Sunflower Co masing-masing memenangi tempat kedua dan ketiga dengan membawa pulang hadiah wang tunai $7,000 dan $5,000.

    Manakala itu, juara Kategori Institusi Tinggi, Wastefyx memenangi $5,000 dengan pemenang kedua New Waze menerima $3,000 dan FreshER di tempat ketiga memenangi $1,000.

    Hadir menyaksikan pengumuman pemenang-pemenang bagi anugerah berkenaan ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri di Kementerian Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah.

    Manakala itu, hadir menyampaikan hadiah ialah Pengarah Urusan Syarikat Minyak Brunei Shell Sdn Bhd (BSP) dan Pengerusi Negara Syarikat-syarikat Shell ke Brunei, Agnete Johnsgaard-Lewis.

    ATAS & BAWAH: Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dan Agnete Johnsgaard-Lewis bersama juara Kategori Terbuka (kanan) dan Kategori Institusi Tinggi (kiri) pada Majlis Anugerah Perniagaan LiveWIRE Brunei ke-16, 2023 di Serambi Suluh, Tarindak D’Seni, kelmarin. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew dalam ucapannya berkata, majlis bertujuan untuk meraikan para pemenang bagi mengiktiraf kecekalan, kreativiti dan inovasi yang mereka pamerkan.

    Para usahawan berkenaan telah mengatasi cabaran secara berterusan, mempamerkan daya tahan yang luar biasa dalam menghadapi kesusahan.

    Yang Berhormat Dato turut mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada LiveWire kerana memberikan peluang dan memperjuangkan keusahawanan sebagai pilihan pekerjaan yang berdaya maju dan menyediakan sokongan dan bimbingan kepada bakal
    usahawan sejak penubuhannya pada 1 Mei 2001.

    Sebagai Pengerusi Darussalam Enterprise (DARe), Yang Berhormat Dato juga berbesar hati atas inisiatif strategik Shell LiveWire dan DARe yang telah bersama mencipta inovasi dan menyediakan akses kepada ekosistem keusahawanan.

    Khususnya, Makmal Inovasi Brunei yang berfungsi sebagai platform kebangsaan untuk inovasi dan menangani keperluan untuk program keusahawanan berasaskan teknologi dalam ekosistem pembangunan perniagaan yang lebih luas.

    Walaupun teknologi permulaan masih lagi membentuk minoriti daripada jumlah keseluruhan perniagaan di negara ini, ia mempunyai potensi besar untuk menilai dan menyampaikan inovasi secara berskala.

    Para pemenang bagi kedua-dua kategori berkenaan juga diberikan peluang untuk bertanding dalam Shell Global Top Ten Innovators Awards.

    Program Anugerah Perniagaan Shell LiveWire ke-16 telah diadakan pada Mei lalu di mana sepanjang program, peserta berpeluang menghadiri dua sesi LiveWire Bootcamp pada Julai dan bengkel dua hari LiveWire Business Plan Series pada September.

    Para peserta juga menyertai mentor perniagaan bagi persediaan sesi akhir pada
    awal bulan ini.

    Ia telah disertai oleh seramai 60 peserta dan daripada itu, hanya 35 peserta sahaja yang berjaya mendaftar cadangan perniagaan dengan 22 mendaftar di bawah Kategori Terbuka dan 13 di bawah Kategori Institusi Tinggi.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...