Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 30 MEI – Seramai 30 pemenang bertuah bagi Kempen Your Cart to a Shopping Spree hari ini telah menerima hadiah mereka dalam majlis yang dihoskan oleh Bank Baiduri di Pasar Beli-Belah First Emporium (Madang).
Hadir bagi menyempurnakan penyampaian hadiah pada majlis tersebut ialah Ketua Perniagaan Kad Bank Baiduri, Davern Lim; dan Pengurus Besar Pasar Beli-Belah First Emporium (Madang), Lim Kian Seng.
Dalam majlis berkenaan, Ketua Perbankan Runcit di Bank Baiduri, Lim Kian Chiong, turut menyatakan, “Kami komited untuk meningkatkan pengalaman membeli-belah pelanggan kami dengan menawarkan promosi yang unik dan bermanfaat, di samping menyokong perniagaan tempatan.
“Kami turut teruja melihat keseronokan dan kegembiraan pemenang menerusi promosi ini, dan kami akan terus mencipta lebih banyak peluang kepada pelanggan bagi menikmati pengalaman yang bermakna dan bermanfaat,” jelasnya.
Dalam majlis itu, pemenang bertuah diberikan peluang untuk berbelanja dengan bajet perbelanjaan sebanyak $250.
Kempen berkenaan telah bermula pada 22 Mac 2024 hingga 28 April 2024, di mana pemegang kad Baiduri yang membelanjakan $50 menggunakan kad kredit atau debit Baiduri mereka di Pasar Beli-Belah Batu Satu dan Pasar Beli-Belah First Emporium (Madang) berpeluang untuk memenangi hadiah membeli-belah dengan nilai barangan sebanyak $250.


