Saturday, November 30, 2024
22.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemenang bertuah Kuiz Explore Malaysia dirai

    Oleh Sim Y.H. –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 29 NOV – Lima pemenang bertuah bagi Kuiz Explore Malaysia Media Permata IG Reel telah diraikan pada majlis penyampaian hadiah yang berlangsung di Pejabat Tourism Malaysia (Brunei), hari ini.

    Hadir pada majlis berkenaan ialah Pengarah Tourism Malaysia Brunei, Hazrina Azman; Pengurus Besar Brunei Press Sdn Bhd, Anafiah Omar dan Pengurus Kanan – Kewangan dan Operasi Brunei Press Sdn Bhd, Suzie Houng.

    Hadiah-hadiah pemenang telah disampaikan bersama oleh Hazrina Azman dan Anafiah Omar.

    Setiap pemenang bagi kuiz berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai $200 dengan pemenang kuiz pada hari pertama ialah Dayang Abidah binti Haji Jakut manakala pemenang kuiz pada hari kedua jatuh kepada Dayang Mashuara binti Haji Ali; pemenang kuiz pada hari ketiga ialah Dayang Nur Fatin Farhanah binti Haji Mohd Kamil; dan pemenang bersama kuiz pada hari keempat ialah Awang Ambrin bin Haji Nayan dan Dayang Hajibah binti Haji Abdullah.

    Dalam temu bual ringkas bersama Media Permata, Dayang Nur Fatin Farhanah menyatakan beliau berasa amat teruja dengan tempat-tempat menarik yang terdapat di Malaysia dan beliau telah melawat ke beberapa buah negeri di Malaysia serta menyatakan hasrat untuk melawat negeri-negeri lain di Malaysia.

    Hazrina, Anafiah dan Suzie Houng bergambar ramai bersama para pemenang pada majlis berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

    Beliau turut menyatakan bahawa bukan sahaja terdapat tempat menarik untuk dilawati di Malaysia tetapi makanan yang ditawarkan juga amat menarik serta memenuhi cita rasanya.

    Mengulas mengenai kuiz itu, beliau menyatakan amat seronok menyaksikan video yang dipaparkan dan mencuba nasib menyertai kuiz berkenaan.

    Kuiz itu dibukakan kepada semua warga Brunei dan penduduk negara yang diadakan dari 13 hingga 16 November. Para peserta menonton video-video yang dipaparkan di saluran YouTube Media Permata dan diuji pengetahuan mengenai tapak-tapak pelancongan di Ipoh dan Pulau Pinang.

    Penyertaan yang menang telah dipilih oleh wakil-wakil dari Brunei Press dan Tourism Malaysia Brunei dengan pemenang-pemenang diundi secara langsung menggunakan sistem rolet.

    Majlis diakhiri dengan sesi bergambar ramai bersama pihak pengurusan dan kakitangan Brunei Press Sdn Bhd dan Tourism Malaysia Brunei.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda