Sunday, May 11, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemenang BICTA dirai

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 18 SEPT – Muappy Company yang menampilkan produk Muappy memenangi Kategori Industri ICT dan membawa pulang hadiah wang tunai $10,000, Universiti Brunei Darussalam pula memenangi Kategori Tertiari melalui produk Medicine Dispenser, meraih hadiah wang tunai $7,000 manakala bagi Kategori Sekolah pula dimenangi oleh Maahad Islam Brunei yang mendapat hadiah wang tunai $3,000 apabila menampilkan produk Rubbish On Demand (ROD).

    Syarikat dan institusi pendidikan ini merupakan pemenang utama Anugerah ICT Brunei (BICTA) 2019 yang diumumkan hari ini dalam majlis penyampaian hadiah di Dewan Kuliah The Core, Universiti Brunei Darussalam.

    Hadir menyampaikan hadiah kepada para pemenang ialah Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi, Yang Berhormat Dato Seri Setia Abdul Mutalib bin Pehin Orang Kaya Seri Setia Dato Paduka Haji Mohd Yusof.

    Pemenang-pemenang lain di tempat kedua dan ketiga BICTA bagi Kategori ICT ialah Buycour melalui produk Buycour yang meraih hadiah wang tunai $5,000, AIW Enterprise memenangi hadiah wang tunai $2,500 melalui produk Pingus.

    Universiti Teknologi Brunei (UTB) memenangi dua hadiah bagi produk-produk Stroke Recovery Tools dan Automated Paddy Watergate and Water Distribution Alternate Wetting and Drying System, membawa pulang hadiah $3,500 dan $1,750 bagi Kategori Tertiari.

    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat pertama kategori Industri ICT, Muappy Company.

    Bagi Kategori Sekolah pula Sekolah Menengah Berakas muncul naib juara melalui produk Personal Mobile Medical Assistance (PMMA) dan membawa pulang hadiah $2,000 manakala Sekolah Menengah Chung Hwa Bandar Seri Begawan yang menampilkan produk Tyran Maton di tempat ketiga dengan hadiah wang tunai $1,000.

    Selain daripada memenangi hadiah dan trofi, para pemenang dan naib-naib juara dalam setiap kategori juga akan dipilih untuk mewakili Negara Brunei Darussalam di Anugerah Asia Pacific ICT Alliance (APICTA) 2019 yang akan diadakan di Ha Long Bay, Vietnam dari 18 hingga 23 November 2019 ini.

    Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi turut menyampaikan Anugerah Khas kepada dua peserta iaitu Flipidea dengan produknya bernama Flipidea bagi Research and Development Project; dan Kementerian Pertahanan dengan produknya bernama SCANEAT bagi Big Data Analytics Technology. Tidak ada penerima bagi tiga Anugerah Khas yang lain iaitu bagi Artificial Intelligence (AI) Technology, Internet of Things (IOT) Technology dan Start Up.

    Selepas penyampaian anugerah dan hadiah kepada penerima-penerima BICTA 2019, Yang Berhormat Menteri Pengangkutan dan Infokomunikasi turut melancarkan aplikasi mudah alih TransportBN yang mengandungi pautan mudah untuk orang ramai mengakses maklumat mengenai Sistem Mata Demerit (SiKAP), maklumat bas awam dan teksi serta bantuan bagi membaharui lesen memandu dan lesen kenderaan.

    Yang Berhormat Menteri kemudiannya meninjau pameran produk-produk para pemenang dan naib juara BICTA 2019.

    Turut hadir ialah Timbalan Menteri Tenaga (Tenaga dan Tenaga Manusia) dan Perindustrian, Dato Seri Paduka Haji Matsatejo bin Sokiaw selaku pengerusi Pihak Berkuasa Industri Teknologi Infokomunikasi Brunei Darussalam (AITI); Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Ahli Lembaga AITI, Yang Berhormat Dayang Siti Rozaimeriyanty binti Dato Seri Laila Jasa Haji Abdul Rahman; Setiausaha Tetap Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Haji Mohammad Nazri bin Haji Mohammad Yusof selaku pengerusi bersama Jawatankuasa Pandu BICTA 2019 dan Pemangku Timbalan Setiausaha Tetap (Infokomunikasi, Keselamatan Siber, Strategi dan Korporat), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, Florence Chong.

    BICTA merupakan pertandingan ICT tahunan yang diterajui oleh Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi dan diungkayahkan bersama dengan AITI dan InfoCom Federation Brunei (IFB) dan tahun ini disokong oleh Kementerian Pendidikan, Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Darussalam Enterprise (DARe). Pertandingan ini bertujuan untuk merangsang inovasi dan kreativiti dalam industri ICT di peringkat individu, organisasi dan perusahaan kecil dan sederhana.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda