Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 19 MEI – Seramai 15 orang pelanggan GHK Motors Sdn Bhd telah memenangi hadiah wang tunai setelah terpilih sebagai pemenang dalam Cabutan Bertuah Promosi Raya bersama GHK 2024.
Majlis cabutan dan penyampaian hadiah telah diadakan hari ini di GHK Motors, Beribi yang menyaksikan Dayang Hairahizah Siregar binti Haji Hairudin memenangi hadiah utama berupa wang tunai $5,000, manakala Awang Mohd Rusman @ Mohd Rosman bin Abdullah membawa pulang wang $3,000 selaku pemenang kedua dan Haji Norilham bin Haji Ahim memenangi $1,000 di tempat ketiga.
Cabutan bagi menentukan tiga pemenang teratas telah dibuat oleh Pengarah GHK Motors, Jake Goh; Pengerusi GHK Motors, Pengiran Halaluddin bin PM Dato Shariffuddin dan Pengurus Jualan GHK Motors, Awang Ahmad Adam.
Sementara itu, seramai 12 orang lagi telah memenangi hadiah sagu hati berjumlah $500 setiap seorang yang telah diundi oleh tetamu jemputan iaitu Ketua Pemasaran dan Perhubungan Awam BIBD At-Tamwil Berhad, Awang Asharul bin Norshari Kamaluddin; Timbalan Ketua Pemasaran dan Perhubungan Awam BIBD At-Tamwil Berhad, Awang Mohd Azizulillah bin Haji Uthman; Eksekutif Jualan dan Pemasaran, Baiduri Finance Berhad, Haji Suwardi; Ketua Jualan, Baiduri Finance Berhad, Awang Muhammad Ali bin Haji Metusin; dan Timbalan Pengarah Urusan Baiduri Finance Berhad, Haji Mohd Rayme bin Haji Bakri.
Promosi yang berjalan dari 1 Mac hingga 30 April lalu itu adalah bagi pelanggan yang membeli mana-mana model Mitsubishi, Perodua, Daihatsu, MG, Maxus, Chrysler, Jeep, Alfa Romeo dan Changan.
Ia bertujuan untuk memberikan ganjaran kepada pelanggan atas sokongan mereka mempercayai jenama GHK Motors dan sebagai sebahagian daripada usaha untuk memeriahkan lagi sambutan Hari Raya Aidilfitri.