Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 6 Nov – Awang Mohd Fakhrul Hafiz bin Asmali muncul sebagai pemenang bertuah dan membawa pulang hadiah utama semasa Cabutan Utama Ekspo Satu Kampung Satu Produk (1K1P) Brunei Darussalam 2017 yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa Berakas, kelmarin.
Dalam cabutan bertuah itu, Awang Mohd Fakhrul Hafiz membawa pulang hadiah berupa wang tunai $500 serta hamper barangan bernilai $100 daripada Aewon Garment and Embroidery Sdn Bhd dan D’Sunlit Sdn Bhd.
Di majlis berkenaan, hadiah para pemenang bertuah di acara cabutan utama ekspo berkenaan disampaikan oleh Pengurus Jualan D’Sunlit Sdn Bhd, Mike Chia.
![](http://mediapermata.com.bn/wp-content/uploads/2017/11/P9-A_071117.jpg)
Ekspo selama lima hari yang bermula 1 hingga 5 November itu, dianjurkan oleh Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri bersama pengurus acara D’Sunlit Sdn Bhd, disertai oleh lebih daripada 150 peserta tempatan dan luar negara.
Ekspo 1K1P Brunei Darussalam 2017 membawa tema ‘Perusahaan Tempatan ke Pasaran Global’ dihasratkan untuk menggalakkan komuniti membangunkan dan meningkatkan kesedaran mengenai produk-produk serta budaya tempatan Brunei.
Ekspo itu juga bermatlamat untuk menjana platform bagi memupuk dan mempromosikan hubungan antarabangsa serta memperkenalkan dan memberikan pendedahan kepada peserta-peserta ekspo iaitu majlis-majlis perundingan mukim dan kampung mengenai produk serta perkhidmatan yang ditawarkan menerusi inisiatif 1K1P.