Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 27 JUN – Sekolah Arab Temburong dan Sekolah Persediaan Arab Bandar Seri Begawan (BSB) muncul johan kategori masing-masing dalam Pertandingan Dikir Syarafil Anam kali ke-20 bagi Sekolah-sekolah Arab, Peringkat Akhir 1444H/2023M bertempat di Surau Sekolah Persediaan Arab BSB, kelmarin.
Sementara tempat kedua dan ketiga bagi kategori lelaki masing-masing dimenangi oleh kumpulan dari Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Rimba dan Mahad Islam Brunei.
Manakala bagi kategori perempuan tempat kedua dan ketiga pula dimenangi oleh Sekolah Ugama Arab Menengah Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha, Katok dan Sekolah Arab Temburong.
Majlis juga menyaksikan penyampaian hadiah kepada para pemenang pertandingan yang telah disempurnakan oleh tetamu khas, Pemangku Ketua Bahagian Kokurikulum, Jabatan Pengajian Islam (JPI), Kementerian Hal Ehwal Ugama, Haji Mohammad Wizani bin Haji Awang Ali.
Dalam pertandingan anjuran Unit sekolah Arab, Bahagian Kokurikulum, JPI, sembilan kumpulan terdiri daripada empat kumpulan lelaki dan lima kumpulan perempuan telah menyertai aktiviti tahunan itu.
Pertandingan itu bertujuan untuk mengembangkan dan mengetengahkan kebolehan para pelajar dalam pembacaan dan mengalunkan lagu Dikir Syarafil Anam dengan baik.
Selain itu, ia juga bertujuan menarik minat pelajar untuk melibatkan diri dalam aktiviti kenegaraan dan majlis-majlis kemasyarakatan.