Oleh Syahmi Hassan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Bank Baiduri telah mengadakan acara penyampaian hadiah untuk para pemenang EWI 100 Days Wellness Challenge, baru-baru ini. Program tersebut, sebahagian daripada cabaran korporat BN on the Move Bank Baiduri, direka untuk mempromosikan kesejahteraan pekerja merentasi empat dimensi: kewangan, fizikal, mental dan rohani.
Semasa acara itu, hadiah telah diberikan kepada pemenang daripada pelbagai kategori, termasuk Cabaran Langkah Terbanyak, Individu Paling Aktif, Jabatan Paling Aktif, Kumpulan Tangkap Momen Terbaik dan Kebaikan Peserta Mingguan.
Cabaran itu berakhir pada 19 Januari lalu, menampilkan 34 aktiviti yang pelbagai merentasi dimensi fizikal, mental, kewangan dan rohani dengan acara penting seperti Cabaran Kiraan Langkah BN on the Move, Pembersihan Pantai, Rethink Mental Health: Art Jam dan Cabaran Kitaran Hayat Kewangan memainkan peranan penting kepada kejayaannya.
Satu lagi pencapaian ketara dalam cabaran itu ialah kejayaan menyelesaikan 60 juta langkah pada BruHealth dalam masa kurang dari 100 hari oleh 230 kakitangan bank, menandakan organisasi korporat pertama yang melaksanakan program kesejahteraan bersama BruHealth dan Kementerian Kesihatan.
Semasa cabaran itu, Bank Baiduri yang diketuai oleh Duta EWI sendiri telah bekerjasama dengan rakan kongsi seperti Kementerian Kesihatan, Pantai Jerudong specialist Centre (PJSC), EVYD Technology, Global Shapers Brunei, Brunei Fuel dan Frame Lens Optic serta dengan kakitangan kelab rekreasi dan bahagian Bank Baiduri yang lain.


