Friday, October 18, 2024
25.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemenang Explore Malaysia IG Reel terima hadiah

    Oleh Ak Zaki Kasharan –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Enam pemenang bagi Peraduan Explore Malaysia IG Reel telah menerima hadiah masing-masing pada majlis yang berlangsung di Pejabat Tourism Malaysia (Brunei), hari ini.

    Para pemenang telah dipilih oleh Brunei Press dan Tourism Malaysia Brunei dan dinilai berdasarkan kreativiti, kualiti video, kerelevanan dan keberkesanan dalam menyampaikan mesej.

    Mewakili Brunei Press pada majlis penyampaian hadiah tersebut ialah Pengurus Besar, Anafiah binti Omar bersama Pengurus Kanan Kewangan dan Operasi, Suzie Houng, manakala dari Tourism Malaysia (Brunei) dihadiri oleh Pengarahnya, Hazrina Azman yang turut berkesudian menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang yang diraikan.

    Pemenang pertama peraduan bagi Media Permata disandang oleh Awang Muhammad Hifni bin Saini yang membawa pulang wang tunai berjumlah $1,000 manakala itu, tempat kedua dan ketiga masing-masing dimenangi oleh Dayang Noorhazimah binti Jaini yang memenangi wang tunai $500 dan Awang Mohammad Faris Aysraf bin Haji Mohd Yussof sekali gus membawa pulang $300.

    Bagi pemenang Borneo Bulletin pula, tempat pertama menjadi milik Awang Mohd NorIsham bin Mohd Roslan diikuti oleh Dayang Normuizzah Samat di tempat kedua dan Awang Muhammad Isamuddin bin Abdullah di tempat ketiga.

    Salah seorang pemenang bagi Peraduan Explore Malaysia IG Reel telah menerima hadiah yang disampaikan oleh Pengarah Tourism Malaysia (Brunei), Hazrina Azman dan Pengurus Besar Brunei Press, Anafiah Omar pada majlis yang berlangsung di Pejabat Tourism Malaysia (Brunei), kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani
    Anafiah, Suzie Houng dan Hazrina Azman bergambar ramai bersama para pemenang Peraduan Explore Malaysia IG Reel pada majlis penyampaian hadiah di Pejabat Tourism Malaysia (Brunei), kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Semasa berucap pada majlis tersebut, Anafiah menyatakan bahawa beliau benar-benar berasa kagum dengan semangat dan dedikasi para peserta yang menyertai acara tersebut yang dapat merakam keindahan dan kemeriahan suasana di Malaysia yang sudah semestinya memberikan inspirasi kepada ramai penonton untuk meneroka permata tersembunyi dan pengalaman yang Malaysia tawarkan.

    Pertandingan yang dibukakan kepada semua rakyat Brunei dan bagi mereka yang menetap di negara ini tersebut berjalan dari 15 Ogos hingga 23 September lalu.

    Para peserta merakamkan detik percutian mereka di Malaysia melalui lensa mereka bagi mendapatkan peluang memenangi hadiah lumayan.

    Awang Muhammad Hifni ketika ditemui mengongsikan bahawa beliau menyertai pertandingan berkenaan semasa membuat pengembaraan ke Kuala Lumpur bersama rakannya, baru-baru ini, sekali gus menjadikannya sebagai cara untuk mengabadikan kenangan berharga tersebut memandangkan ia merupakan kali pertama beliau mengunjungi Kuala Lumpur.

    Beliau pada masa yang sama turut memuji peraduan yang dianjurkan tersebut dan berharap ia dapat diadakan pada masa yang akan datang serta menyeru lebih ramai orang akan menyertai pertandingan yang mendatangkan manfaat tersebut.

    “Ia adalah rezeki bagi diri saya yang mana bertepatan juga hari ulang tahun kelahiran saya baru-baru ini.

    “Insya-Allah saya akan menggunakan hadiah $1,000 untuk mengembara ke tempat menarik di Malaysia lagi sekali gus meneroka lebih banyak tempat menarik yang terdapat di sana,” tambahnya.

    Sementara itu, Dayang Normuizzah menjelaskan bahawa video penyertaannya kali ini adalah daripada suntingan video yang merakam memori indah bersama keluarga kecilnya sewaktu bercuti bersama-sama. Beliau yang berasa teruja dan sama sekali tidak menyangka untuk memenangi peraduan tersebut turut menyentuh mengenai penganjuran pertandingan seumpama ini yang baginya amat baik kerana dapat mendedahkan tempat-tempat menarik yang boleh dikunjungi di Malaysia kepada orang ramai.

    Dayang Normuizzah merancang untuk menggunakan hadiah wang tunai yang dimenanginya untuk menambah wang perbelanjaan bagi percutiannya ke Malaysia yang dijadualkan pada minggu hadapan bersama keluarganya.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda