Sunday, December 22, 2024
24.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemenang Fotografi Borneo Bulletin 2017 terima hadiah

    Oleh Pg Fairol RMF

     

    BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Jan – Para pemenang Peraduan Fotografi Borneo Bulletin 2017 telah menerima hadiah masing-masing pada majlis yang berlangsung di Restoran Millenium, petang tadi.

    Hadir pada majlis itu ialah Pengurus Besar Brunei Press Sdn Bhd, Reggie See dan Timbalan Pengurus Besar Brunei Press Sdn Bhd, Hazizah Osman serta para penaja dan wakil penganjur bersama.

    Hadiah-hadiah telah disampaikan oleh para penaja antaranya ialah Pengurus Besar QAF Auto Sdn Bhd, Sivakumar Krishnan; Pemangku Timbalan Pengarah Seni dan Budaya, Dayangku Hajah Juni Hana binti Pengiran Haji Chuchu; Pegawai Tugas-tugas Khas dari Jabatan Kemajuan Pelancongan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Dayang Rita Suzanty Andry; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Baiduri, Ti Eng Hui bersama Ketua Perhubungan Korporat dan Pemasaran Bank Baiduri, Dorothy Newn; Pengurus Jualan Khas Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL), Alma Paquena; Timbalan Pengarah Urusan Syarikat Interhouse, Vincent Goh; Pengurus Perhubungan Korporat Progresif Cellular Sdn Bhd, Hafizah binti Mohammad; Pengurus Besar Hotel Radisson, Jerome Van Helden dan juga perwakilan dari Ben Food.

    Reggie See dalam ucapannya di majlis itu menyatakan bahawa hadiah-hadiah yang ditaja oleh Interhouse (Canon), Bank Baiduri, QAF Auto Sdn Bhd, Progresif Cellular (PCSB), Hotel Radisson, PAR Foods & Beverages dan Ben Food Sdn Bhd itu telah menarik lebih 1,600 penyertaan berbanding tahun 2016 yang berjumlah kira-kira 700 penyertaan.

    “Peraduan kali ini menumpukan kepada lima kategori iaitu Jubli Emas, 50 tahun ASEAN, Masyarakat dan Budaya, Tempat dan Mercu Tanda dan Makanan dan Sukan. Seramai 40 pemenang daripada lima kategori tersebut menerima hadiah wang tunai selain daripada hadiah-hadiah istimewa lainnya.

    Reggie See dan pihak pengurusan Brunei Press ketika bergambar ramai bersama para penaja dan pemenang.
    Reggie See dan pihak pengurusan Brunei Press bersama para penaja semasa sesi bergambar ramai.
    Awang Mohd Ariffin memenangi hadiah utama dan membawa balik $2,050 bersama hadiah-hadiah menarik.

    “Melalui Peraduan Fotografi Borneo Bulletin ini, kami berharap dapat terus mendedahkan lebih ramai jurugambar berkemahiran dan berinspirasi dengan menyediakan peluang kepada mereka untuk merakam dan berkongsi gambar-gambar menarik mengenai Brunei Darussalam,” ujar beliau.

    Dalam pertandingan itu, Kategori Jubli Emas telah dimenangi oleh Awang Mohd Ariffin bin Haji Akif dengan membawa balik kamera Canon EOS M5 EFM-45mm, wang tunai $2,050 daripada Bank Baiduri, penginapan hujung minggu di Hotel Radisson untuk dua orang, mesin kopi CBTL bersama dua kotak kapsul.

    Kategori 50 Tahun ASEAN pula dimenangi oleh Awang Mohd Syariffuddin bin Haji Mohd Sufri dengan membawa balik kamera Canon EOS M5 EFM-45mm, wang tunai $2,050 daripada Bank Baiduri, penginapan hujung minggu di Hotel Radisson untuk dua orang, mesin kopi CBTL bersama dua kotak kapsul.

    Bagi Kategori Masyarakat dan Budaya dimenangi oleh Haji Mohammad Yusop bin Mohammad Yassin yang membawa pulang kamera Canon EOS M5 EFM-45mm, wang tunai $500 daripada PCSB, penginapan hujung minggu di Hotel Radisson untuk dua orang, basikal lipat MINI bernilai $1,194 dan telefon pintar Huawei P10 dengan talian Progresif Unlimited.

    Kategori Tempat dan Mercu Tanda pula dimenangi oleh Law Hieng Hing dengan membawa pulang kamera Canon EOS M5 EFM-45mm, wang tunai $500 daripada PCSB, penginapan hujung minggu di Hotel Radisson untuk dua orang, telefon pintar Huawei P10 dengan talian Progresif Unlimited, mesin kopi CBTL berserta dua kotak kapsul.

    Akhir sekali, Kategori Makanan dan Sukan telah dimenangi oleh Awang Bahrin Yusof dengan membawa pulang kamera Canon EOS M5 EFM-45mm, wang tunai $500 daripada PCSB, penginapan hujung minggu di Hotel Radisson untuk dua orang dan basikal BMW bernilai $2,500.

    Peraduan yang telah berjalan dari Ogos hingga November 2017 lalu itu dihakimi oleh perwakilan dari Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan, Syarikat Interhouse, Bank Baiduri, QAF Auto, Progresif Cellular, Hotel Radisson, PAR Food & Beverages, Ben Foods dan Brunei Press. Foto dinilai dan dipilih dari segi kualiti penggambaran, kreativiti dan memberi mesej tertentu melalui kategori disediakan.

    Majlis penyampaian hadiah telah diakhiri dengan menyaksikan galeri foto-foto peserta yang dipamerkan di restoran tersebut.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda