Oleh Ak Zaki Kasharan
Gambar oleh Muiz Matdani
BANDAR SERI BEGAWAN, 16 JUN – Seorang pelanggan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) hari ini, membawa pulang Sijil Deposit Aspirasi bernilai $3,000 selaku pemenang suku tahunan Kempen Mega 30 anjuran BIBD.
Pemenang ialah Dayang Noor Khadizah binti Haji Rosli yang menerima hadiahnya pada majlis yang diadakan semasa Pesta Pengguna ke-27 (CF27) di Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas.
Majlis turut menyaksikan dua pemenang mengejut diumumkan iaitu Awang Muhammad Zahirrudin bin Muhammad Affendi dan Awang Ahmad Syahmi bin Rahim yang masing-masing menerima pelaburan Mutual Fund bernilai $950 seorang.
Sebagai sebahagian daripada kempen itu, 30 pemenang bulanan turut menerima wang tunai $300 setiap seorang.
Hadir pada majlis tersebut dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Timbalan Ketua Perbankan Runcit BIBD, Awang Clevy Syabil ‘Ariffin bin Jamil.
Dilancarkan pada 1 Mac lalu, kempen berkenaan bertujuan untuk memperingati ulang tahun ke-30 BIBD sambil melahirkan rasa terima kasih atas sokongan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi daripada pelanggan sejak tiga dekad yang lalu.
Ia terbuka kepada pelanggan baharu dan sedia ada yang memohon atau melanggan rangkaian luas produk, perkhidmatan dan kemudahan pembiayaan BIBD serta melakukan transaksi sehingga 30 November depan.
Semasa ditemui media pada majlis tersebut, Awang Muhammad Zahirrudin mengongsikan perasaan teruja dan menjelaskan bahawa beliau sama sekali tidak menyangka untuk menerima hadiah pada hari ini.
Menurutnya, beliau kerap menggunakan kad kredit BIBD Virtual Prepaid Mastercard (vCard) bagi pembelian secara dalam talian kerana ia jelas sekali memudahkan urusan dan berasa selamat menggunakannya.



