Oleh Ak Zaki Kasharan –
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 SEPT – Seorang pelanggan Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) memenangi Sijil Deposit BIBD Aspirasi bernilai $3,000 setelah terpilih sebagai pemenang suku tahun Kempen Mega 30.
Majlis penyampaian hadiah telah berlangsung di Bangunan PGGMB, hari ini di mana hadir menyampaikan hadiah kepada Dayang Nur Wajihah binti Haji Tahir ialah Ketua Perbendaharaan dan Pasaran Global BIBD, Dayang Hazimah Izzati binti Pehin Orang Kaya Johan Pahlawan Dato Seri Setia Haji Awang Adanan.
Majlis turut menyaksikan penyampaian hadiah kepada 30 pemenang bulanan yang memenangi $300 setiap seorang, yang didepositkan terus ke dalam Virtual Mastercard atau vCard pelanggan.
Di samping itu, dua pemenang cabutan mengejut turut menerima hadiah berupa Mutual Fund bernilai $950 setiap seorang iaitu Dayang Siti Salfariennah Nur’Ain Al Natasha binti Haji Buhari dan Malai Firdaus Izdihar bin Malai Haji Abu Safian.
Dilancarkan awal tahun ini, kempen Mega 30 diadakan bagi memperingati ulang tahun ke-30 BIBD sambil melahirkan rasa terima kasih atas sokongan dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi daripada pelanggan sejak tiga dekad lalu.
Kempen terbuka kepada pelanggan baharu dan sedia ada yang memohon atau melanggan produk, perkhidmatan, kemudahan pembiayaan BIBD dan lainnya sehingga 30 November.


