Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 APRIL – Minggu Gastronomi Brunei 2022 yang dianjurkan oleh Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) melalui Jabatan Kemajuan Pelancongan bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-38 berakhir dengan pengumuman para pemenang.
Pemenang untuk Pertandingan Minggu Gastronomi Brunei bagi Hidangan Starter Terbaik ialah Earth and Sea (Atlantic Salmon Belly Crudo, Pandan Crispy Rice dan Nori Pandan Dust) oleh The Melting Pot.
Bagi Hidangan Utama Terbaik, Fundamentals of Pandan oleh Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) telah memenangi kategori tersebut.
Pandan Cream Brulee with Coconut Ice Cream oleh The Brunei Hotel pula telah memenangi Hidangan Pencuci Mulut Terbaik.
Manakala itu, Anugerah Cef Terbaik jatuh kepada tenaga pengajar dari IBTE, Awang Muhammad Aziz Syafi’ie bin Haji Mokhsen atas kreativiti dan pelaksanaan komprehensif beliau untuk menghasilkan Fundamentals of Pandan.
Sebanyak 12 hotel dan restoran yang mengambil bahagian dalam acara selama dua minggu itu telah dinilai oleh panel hakim yang terdiri daripada Penerbit Borneo Insider’s Guide (majalah BiG) dan Pengarah Reka Bentuk WaMa Designs, Wan Zainal Abidin; Ketua Pegawai Eksekutif Brunei Food, Haji Nasir bin Dato Paduka Latif; dan Pensyarah Hospitaliti dan Penilai Kulinari di Sekolah Kulinari di Kolej Perdagangan Laksamana, Matthew Beswick.
Mengulas mengenai keseluruhan pelaksanaan pertandingan, Matthew Beswick berbesar hati melihat para peserta menunjukkan kemahiran masakan mereka.
“Para cef mempamerkan bakat luar biasa mereka menghasilkan semua hidangan menggunakan unsur pandan, mempamerkan kemahiran mereka dalam menggabungkan bahan-bahan sumber tempatan dengan teknik moden,” ujarnya.
Dalam masa yang tidak menentu ini, beliau juga mengucapkan tahniah kepada para pemenang dan semua yang terlibat kerana menjayakan acara tersebut dan berharap untuk menyokong acara yang serupa pada masa akan datang.
Acara itu diharap dapat mewujudkan pengiktirafan antarabangsa terhadap masakan Brunei, untuk menggalakkan lebih banyak hotel dan restoran menyajikan masakan Brunei setanding dengan piawaian antarabangsa.
Selain untuk menambah baik lagi cita rasa dan meningkatkan persembahan hidangan Brunei untuk dihidangkan sebagai sebahagian daripada pengalaman menjamu selera yang baik atau pada majlis resepsi yang diadakan di dalam atau di luar negara.
Penyampaian anugerah rasmi untuk para pemenang akan berlangsung pada 2023.