Jumaat, 21 November 2025
24.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemenang musabaqah Al-Quran terima hadiah

    Oleh Nurdiyanah R. –

    BELAIT, 6 JULAI – Bagi menyahut titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebagai sebuah Negara Zikir, Jabatan Hal Ehwal Masjid dengan kerjasama Ahli Jawatankuasa Takmir Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait dan Pejabat Hal Ehwal Masjid Daerah Belait, kelmarin, telah menganjurkan Musabaqah Membaca Al-Quran bagi Lelaki dan Perempuan Berumur 40 Tahun ke atas bagi Masjid, Surau dan Balai Ibadat Seluruh Negara.

    Musabaqah edisi ke-7 bersempena dengan Sambutan Awal Tahun Hijrah 1447 itu diadakan di Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait.

    Hadir selaku tetamu kehormat ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad, yang seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang di akhir acara. Turut hadir, Ketua Pegawai Ugama Daerah Belait, Awang Mohamad Aliyani bin Ismail.

    Johan musabaqah bagi peserta lelaki disandang oleh Haji Mohd Hendra bin Haji Meraji dengan markah keseluruhan 87.50 peratus diikuti Haji Awang Nor Asilin bin Haji Awang Puting di tempat kedua dan Awang Aliuddin bin Haji Sarbini di tempat ketiga.

    Sementara itu, Hajah Norlaila binti Haji Metusin menyandang johan musabaqah bagi peserta perempuan dengan markah 91.40 peratus; diikuti Dayang Husna binti Basuri di tempat kedua dan Hajah Norhayati binti Haji Ahmad di tempat ketiga.

    Pertandingan ini antaranya bertujuan mencungkil bakat para peserta dalam seni pembacaan Al-Quran, meningkatkan mutu bacaan ke tahap terbaik dan memupuk budaya membaca Al-Quran sebagai sebahagian daripada amalan kehidupan harian berteraskan nilai agama, bangsa dan negara.

    Penganjuran pertandingan seumpama ini dihasratkan melahirkan peserta-peserta yang bukan sahaja mahir dalam pembacaan Al-Quran, bahkan juga berpotensi untuk menjadi contoh dan inspirasi kepada masyarakat Islam. Ini secara tidak langsung, menyemarakkan lagi kecintaan umat Islam di negara ini terhadap kitab suci Al-Quran.

    ATAS & BAWAH: Haji Amirol Hafidzin menyampaikan hadiah kepada pemenang pada pertandingan yang diadakan di Masjid Mohammad Jamalul Alam, Kuala Belait. – GAMBAR SERAHAN KHEU
    GAMBAR SERAHAN KHEU

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda