Wednesday, April 16, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemenang NCAA 2022 antara mangsa nahas pesawat di New York

    NEW YORK, 14 APRIL – Sebuah pesawat persendirian yang terhempas di kawasan utara negeri New York hujung minggu lalu membawa enam ahli keluarga yang terdiri daripada doktor dan bekas atlet pelajar cemerlang, dalam perjalanan ke Catskills bagi meraikan sambutan hari lahir dan cuti perayaan Passover.

    Pesawat dwi-enjin Mitsubishi MU-2B itu terhempas sejurus selepas tengah hari Sabtu di kawasan ladang berlumpur di Copake, New York, berhampiran sempadan Massachusetts, mengorbankan kesemua penumpang di dalamnya, menurut pihak berkuasa dan seorang ahli keluarga yang bercakap kepada The Associated Press.

    Menurut pegawai Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan (NTSB) dalam satu taklimat pada Ahad, beberapa ketika sebelum nahas, juruterbang telah menghubungi kawalan trafik udara di Lapangan Terbang Daerah Columbia dan memaklumkan beliau telah terlepas pendekatan awal serta meminta pelan pendekatan baharu.

    Ketika koordinat baharu sedang disediakan, kawalan trafik udara cuba menghantar amaran ketinggian rendah sebanyak tiga kali tetapi tidak menerima sebarang maklum balas daripada juruterbang dan tiada isyarat kecemasan diterima.

    Penyiasat memperoleh rakaman video detik-detik akhir penerbangan tersebut yang “menunjukkan pesawat masih dalam keadaan utuh dan terhempas ke tanah dengan kadar penurunan yang tinggi,” kata pegawai NTSB, Todd Inman.

    Menurut kenyataan keluarga pada Ahad, antara mangsa ialah Karenna Groff, bekas pemain bola sepak MIT yang dinobatkan sebagai wanita terbaik NCAA 2022; bapanya, Dr. Michael Groff, seorang pakar neurologi; ibunya, Dr. Joy Saini, pakar uroginekologi; abangnya, Jared Groff, graduan Swarthmore College 2022 yang bekerja sebagai paralegal; teman wanita Jared, Alexia Couyutas Duarte, yang turut menamatkan pengajian di Swarthmore dan dijadualkan menyambung pengajian di Sekolah Undang-undang Harvard musim luruh ini; serta teman lelaki Karenna, James Santoro, graduan terkini MIT.

    Mereka sepatutnya mendarat di Lapangan Terbang Daerah Columbia tetapi pesawat itu terhempas kira-kira 10 batu (16 kilometer) ke selatan dari lokasi tersebut. Pesawat itu didapati “mampat, remuk dan tertanam dalam kawasan ladang pertanian yang berlumpur,” kata Inman.

    Tambahnya lagi, penyiasat dijangka berada di lokasi nahas selama kira-kira seminggu dan laporan penuh siasatan akan dijangka siap dalam tempoh antara 12 hingga 24 bulan. – AP

    Dari kiri, Dr. Michael Groff, Karenna Groff, Dr. Joy Saini dan James Santoro, pada 2024. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda