Saturday, May 10, 2025
26.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Pemenang Nobel dipenjara 6 bulan

    DHAKA, 1 JAN – Pemenang Nobel Keamanan, Muhammad Yunus disabitkan bersalah hari ini kerana melanggar undang-undang buruh Bangladesh dalam kes yang dikecam oleh penyokongnya sebagai bermotifkan politik.

    Yunus, 83, dipuji kerana membantu berjuta-juta penduduk miskin dengan bank kewangan mikro perintisnya tetapi telah menimbulkan kemarahan Perdana Menteri lama, Sheikh Hasina, yang menuduhnya ‘menghisap darah’ golongan miskin.

    Hasina telah mengeluarkan beberapa kecaman yang pedas terhadap pemenang Hadiah Nobel Keamanan 2006 yang disegani di peringkat antarabangsa itu, yang pernah dilihat sebagai saingan politiknya.

    Yunus dan tiga orang rakan sekerja dari Grameen Telecom, salah sebuah syarikat yang diasaskannya, dituduh melanggar undang-undang buruh apabila gagal mewujudkan tabung kebajikan pekerja di syarikat itu.

    Mahkamah buruh di ibu negara Dhaka telah mensabitkan kesalahan dan menjatuhkan hukuman penjara enam bulan ke atas mereka, beritahu ketua pendakwa raya, Khurshid Alam Khan, kepada AFP, sambil menambah keempat-empat mereka dibenarkan ikat jamin sementara menunggu rayuan.

    Walau bagaimanapun, keempat-empat mereka menafikan pertuduhan itu. Berpuluh-puluh orang telah mengadakan demonstrasi kecil di luar mahkamah untuk Yunus, yang meninggalkan mahkamah tanpa bercakap kepada media.

    “Keputusan ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” kata Abdullah Al Mamun, seorang peguam untuk Yunus, kepada AFP. “Kami tidak mendapat keadilan.”

    Yunus menghadapi lebih 100 pertuduhan lain atas pelanggaran undang-undang buruh dan dakwaan rasuah. – AFP

    Yunus disabitkan pada 1 Januari kerana melanggar undang-undang buruh Bangladesh dalam kes yang dikritik penyokongnya sebagai bermotifkan politik. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda