Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Dayangku Nurfarzana Delisha binti Pengiran Shahrulzaman dan Dayangku Izzah Zahrah binti Pengiran Zharif masing-masing muncul johan bagi kategori 1 dan 2 dalam peraduan mewarna anjuran TCY Motors Sdn Bhd di Bilik Pameran Peugeot, Kampung Kiarong, hari ini.
Peraduan mewarna sempena penggal cuti persekolahan itu dibahagikan kepada dua kategori iaitu untuk kanak-kanak berumur antara lima hingga lapan tahun dan kanak-kanak berumur antara sembilan hingga 11 tahun yang disertai lebih 30 kanak-kanak dari Daerah Brunei dan Muara.
Muncul di tempat kedua bagi kategori 1 selepas Dayangku Nurfarzana Delisha ialah Dayang Nur Hanna Natasha binti Muhd Fakhrurazi dan tempat ketiga dimenangi oleh Dayang Aizzatuz Zakiyah.
Di tempat kedua bagi ka-tegori 2 telah dimenangi oleh Dayangku Nur Rania Ashanti binti Pengiran Satria Putra dan tempat ketiga dimenangi oleh Dayang Farah Alessya Damia binti Noorshisam.
Hadir menyampaikan hadiah-hadiah berupa sijil, trofi dan barangan permainan kepada para pemenang ialah Pengurus Jualan Peugeot/SsangYong/DFSK, Aron Wong.
Aron Wong ketika ditemu bual berkata, acara seumpama itu merupakan salah satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat yang bertujuan untuk memberi kembali kepada masyarakat dan juga untuk mengeratkan lagi hubungan silaturahim antara orang ramai dan TCY Motors.