Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Para pemenang Peraduan Fotografi Borneo Bulletin 2023/2024 diraikan dalam satu majlis penyampaian hadiah yang diadakan di Hotel Radisson di ibu negara, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat bagi menyempurnakan penyampaian hadiah kepada para pemenang, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Hajah Nor Ashikin binti Haji Johari.
Peraduan tersebut adalah bertujuan untuk mempamerkan kreativiti jurugambar berbakat dalam merakam keindahan dan budaya Negara Brunei Darussalam.
Dalam ucapan alu-aluan Pengurus Besar Brunei Press, Anafiah binti Omar, beliau menyatakan bahawa peraduan itu menjadi platform untuk jurugambar mempersembahkan karya mereka melalui lensa yang kreatif.
Peraduan anjuran Brunei Press itu memberikan peluang kepada jurugambar berbakat untuk menonjolkan kreativiti mereka dalam kategori seperti penduduk, makanan dan kebudayaan, mercu tanda dan hidupan liar, kecergasan, sukan dan gaya hidup, serta kategori istimewa sempena Hari Kebangsaan Brunei Darussalam ke-40 dan perkahwinan diraja.
Pemenang utama dalam kategori Mercu Tanda dan Hidupan Liar ialah Raul Padernal, manakala kategori Kecergasan, Sukan dan Gaya Hidup dimenangi oleh Dayang Aina Azyyati binti Mohamad Rezal.
Manakala Law Hieng Hing meraih tempat pertama dalam kategori Hari Kebangsaan ke-40, sementara Awang Yusri Omar memenangi kategori Perkahwinan Diraja dan Haji Kahan bin Haji Nasir diumumkan sebagai pemenang bagi kategori Penduduk, Makanan dan Kebudayaan.
Peraduan yang mendapat lebih 1,000 penyertaan itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah lebih $22,000, yang antaranya termasuk kamera Canon EOS 1500D, akaun simpanan Bank Baiduri, BMW M Bike, baucar dan peralatan AIFA, penginapan di Hotel Radisson, baucar Supa Save, baucar serta barangan Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL).
Penaja peraduan tersebut terdiri dari Interhouse Company, Bank Baiduri, AIFA Sdn Bhd, QAF Auto Sdn Bhd, Hotel Radisson, CBTL dan Ben Foods Sdn Bhd.